Di Mana Tahap Islam Kita Di Malaysia?

“Aku pergi ke Barat, tidak kutemui Muslim tapi Islam dan aku pergi ke Timur, kutemui Muslim tapi tidak Islam.”

Bait-bait perkataan tersebut diucapkan oleh Sayyid Qutb yang merupakan seorang penulis, penyair, guru serta tokoh utama di Mesir pada era 1950-60an.

Kata-kata tersebut di ucapkan oleh beliau setelah pulang ke Mesir selepas selesai pengajiannya di Amerika dan melawat beberapa negara Eropah.

Sepanjang berada di luar Mesir, beliau banyak menyaksikan akhlak-akhlak Islam pada masyarakat barat walaupun mereka tidak Muslim.

Ianya amat berbeza dengan apa yang berlaku di negaranya sendiri yang merupakan sebuah negara Islam namun penduduknya tidak berakhlak dengan akhlak Islam.

Dari Dulu Hingga Kini…

Begitulah kenyataan yang berlaku bukan sahaja pada zaman tersebut namun masih berterusan hingga ke hari ini.

Pengalaman yang ingin dikongsikan bersama pembaca pada kali ini merupakan apa yang telah dialami oleh penulis sendiri sepanjang bermusafir di negara barat selama 36 bulan.

‘Republic of Ireland’ merupakan sebuah negara yang 84.2% majoriti penduduknya beragama Christian dan didominisasi oleh ‘Christian Catholic’.

Walaupun kini dikatakan golongan mudanya semakin menjauhi agama namun golongan yang lebih berusia hidup beragama dan selalu ke gereja.

Masyarakatnya pada kebiasaan merupakan masyarakat yang peramah. Mereka mudah didekati dan tidak lokek dengan senyuman. Mereka akan menyapa dan menegur sesiapa sahaja walaupun ketika berada di perhentian bas.

Sapaan pertama yang selalu diucapkan adalah “Apa khabar?” walaupun kadangkala mereka tidak memerlukan jawapan untuk pertanyaan itu.

Pandangan di salah satu bandar di Ireland.
Pandangan di salah satu bandar di Ireland.

Mereka amat menghormati wanita dan kanak-kanak. Mereka akan cuba membantu dengan sedaya upaya mereka jika melihat wanita bersama anak-anak kecil mereka.

Sebagai contoh, jika ada seorang wanita bersama anak kecilnya ingin menyeberangi jalan, bukan sahaja akan ada mereka yang akan menolong tetapi pemandu kereta juga akan memberi laluan kepada mereka untuk melintas.

Mereka amat sensitif terhadap perkara-perkara seperti ini yang dianggap biasa oleh kebanyakan orang kita di Malaysia.

Etika, Ucapan Maaf & Terima Kasih

Mereka selalu menuturkan perkataan maaf dan terima kasih walaupun ia bukannya kesalahan mereka. Mereka amat negatif kepada mereka yang tidak beretika seperti memotong barisan dan merosakkan harta benda awam.

Jika ada contohnya ibubapa yang membiarkan anak-anak mereka memanjat pokok dan mematahkan ranting-rantingnya, mereka akan menasihati ibubapa tersebut kerana tidak melarang anak-anak mereka daripada merosakkan harta benda awam, walaupun ianya hanyalah sepohon pokok di tepi jalan.

Mereka amat meraikan perbezaan di antara manusia. Setiap manusia mempunyai pilihan dan berhak untuk berbeza pendapat. Mereka suburkan budaya untuk berhujah dan berfikiran kritikal. Diberikan kebebasan kepada sesiapa pun untuk beramal dan mempercayai apa yang mereka rasakan betul. Setiap manusia di sini bebas melaksanakan amalan agama masing-masing.

Ruang aktiviti Christian yang dikongsi bersama penganut agama lain.
Ruang aktiviti Christian yang dikongsi bersama penganut agama lain.

Didikan Tentang Kehidupan

Mereka mendidik anak kecil untuk menghargai nilai sebuah kehidupan di peringkat sekolah lagi.

Sistem persekolahan mereka pada peringkat awal tidak tertumpu kepada peperiksaan. Pada peringkat awal persekolahan, anak-anak kecil di ajar bagaimana untuk mengurus diri sendiri dan bagaimana untuk bercampur sesama mereka.

Pernah diceritakan, pihak sekolah pada kebiasaannya akan menyediakan hanya satu jenis permainan dan anak-anak kecil ini perlu belajar untuk bertoleransi sesama mereka.

Mereka perlu berkongsi mainan tersebut bersama kawan-kawan mereka yang lain. Meraka diasuh untuk tidak mementingkan diri dan memikirkan perasaan kawan-kawan yang lain.

Anak-anak kecil ini juga diasuh untuk belajar meneroka persekitaran mereka dan tidak dibebankan dengan peperiksaan serta kerja-kerja sekolah yang perlu dibawa pulang ke rumah.

Suasana di dalam sebuah kelas di sekolah.
Suasana di dalam sebuah kelas di sekolah.

Segalanya Bermula Dari Rumah

Mereka mendidik anak-anak mereka mengenai etika hidup yang betul. Pendidikan bermula dari rumah. Anak-anak kecil ini diasuh untuk menyerap budaya yang positif dari rumah.

Sebagai contohnya, pernah terjadi seorang anak telah memotong barisan untuk menaiki permainan gelongsor. Ibunya datang dan memarahi anak ini. Ibubapa yang lain berasa kasihan terhadap anak ini dan membenarkan anak ini untuk terus kehadapan. Namun ibunya menolak. Dia berkata bahawa etika yang betul adalah lebih penting untuk anaknya daripada menaiki gelongsor ini.

Jika dilihat, sebenarnya budaya-budaya yang disuburkan ini tidak asing bagi kita di Malaysia khususnya umat Islam. Perkara-perkara ini telah dipupuk dan diberikan contoh suri teladan oleh junjungan nabi kita s.a.w.

Sedekah melalui senyuman, sebarkan salam, bersopan santun sesama manusia, raikan perbezaan, cara pendidikan anak-anak dan berakhlak mulia adalah perkara yang dituntut di dalam Islam.

Namun amat malang bagi umat Islam pada hari ini, perkara ini tidak diamalkan. Kita semakin menyimpang daripada amalan yang dituntut oleh agama.

Agama hanya digunapakai untuk urusan ibadah seperti sembahyang, nikah dan kahwin walhal Islam adalah agama yang syumul, meliputi segala aspek kehidupan manusia.

Islam itu bukan hanya agama, tetapi Islam adalah cara hidup. Bukan hanya beragama menurut Islam tetapi hidup itu sendiri yang menurut Islam.

Bagaimana Tindakan Kita?

Pembentukan kehidupan perlu dimulakan dari rumah. Anak yang soleh terhasil dari usaha yang keras dan usaha tarbiyah dari kedua ibubapanya.

Kemunduran umat Islam pada hari ini berbanding masyarakat barat boleh jadi kerana umat Islam sendiri telah menyimpang dari agama Islam itu sendiri.

Malah masyarakat barat walaupun tidak beragama Islam namun mereka memilih untuk hidup seperti yang dianjurkan oleh baginda nabi s.a.w walaupun mereka langsung tidak mengenali baginda.

Tidak akan berjaya umat Islam di dunia dan akhirat apabila meninggalkan ajaran Islam. Lihat dan renungkanlah bagaimana Islam telah melonjakkan martabat masyarakat Arab dahulu. Tanpa Islam nescaya mereka akan terpelosok di dalam lipatan sejarah.

Kesimpulannya, kembalilah kepada cara hidup Islam kerana ia adalah kunci kepada segala kejayaan. Kita sebagai umat Islam adalah lebih perlu dan dituntut untuk menerapkan ciri-ciri yang baik ini berbanding masyarakat barat.

Walaupun perubahan akan mengambil masa, namun ia memerlukan langkah yang pertama. Berubahlah wahai umat walaupun kata-kata Sayyid Qutb itu telah menjangkau lebih dari 55 tahun.

Perarakan aman di pusat bandar Dublin bagi membantah dasar baru kerajaan.
Perarakan aman di pusat bandar Dublin bagi membantah dasar baru kerajaan.

Share Itu Prihatin!

Sila share artikel ini di media sosial, mungkin ada di antara kenalan anda yang memerlukan. Yakinlah, setiap satu manfaat yang dikongsi, ada balasannya bagi kita.

Jom Langgan / Follow Soleh.Net

Akhir kata, jangan ketinggalan tips sihat untuk beramal! Langgan Soleh.Net terus ke email anda, ianya PERCUMA! Klik sini.

Anda juga boleh follow terus melalui NetworkedBlogs!

Komentar

comments

Published by

Asnul Hadi

Bapa kepada 3 anak yang comel, seorang pensyarah di Universiti Malaysia Pahang, berkelulusan Ph.D di Dublin City University, Ireland. Connect with Asnul Hadi on Facebook or view on Google Scholar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *