Cuti Sekolah Tanpa TV, Manfaatkan Masa Sebaiknya!

Ada seorang bapa di kalangan rakan tidak seperjuangan suamiku, pernah announce dengan penuh rasa kebapaan di dalam satu WhatsApp group:

“Siapa tahu kat mana ada jual TV murah-murah? Kesian sangat aku tengok anak-anak aku ni, TV rosak, cuti sekolah tak dapat tengok TV..”

Subhanallah, detik hatiku.. Allah s.w.t sedang memberikan nikmat, tapi dia tolak jauh-jauh. Ya Allah, bukakanlah pintu hatinya dan hati kami.

TV Sebesar-Besar Perosak Kecemerlangan

Ibu mertuaku selalu berpesan, orang-orang yang berjaya tak tengok TV. Anak-anak yang benar-benar cemerlang itu ibu bapanya tidak membenarkan TV.

Cuti sekolah tanpa TV!

Bak kata suamiku, bukan pasrah tetapi pengorbanan dan kesabaran. Bukan tak mampu nak beli TV tapi kesabaran menahan nafsu.

Manakala menahan nafsu itu satu ibadah. Bukankah itu tujuan sebenar hidup seorang yang bernama manusia di atas muka bumi?

Firman Allah s.w.t dalam surah Az-Zariyat ayat ke-56:

Surah Az-Zariyat ayat 56

“Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia itu melainkan untuk beribadah!”

Hijrah Kecil Yang Berbaloi

Sebagai langkah awal yang kecil, diharap penghijrahan ini dipermudahkan buat saya dan keluarga.

Mudah-mudahan Allah s.w.t memberikan kami kekuatan untuk terus konsisten hingga ke garisan penamat – iaitu mati!

Bermula cuti sekolah ini saya ‘haramkan’ TV untuk anak-anak saya, malah Youtube juga! Mulai cuti sekolah ini tiada lagi kartun-kartun kegemaran bersiaran dalam rumah ini.

Sebagai permulaan, kami suami isteri telah sepakat merancang aktiviti penuh buat anak-anak di musim cuti sekolah ini.

Aktiviti Cuti Sekolah Tanpa TV

Berikut saya senaraikan perancangan aktiviti cuti sekolah tanpa TV untuk anak-anak kami yang masih pra sekolah.

Ada yang harian dan ada yang sekali dua sahaja. Jom copy & paste, kemudian sesuaikan ikut keadaan yer..

1. Jogging selepas subuh

Waktu ini sangat nyaman dan bagus untuk pengaliran darah.

Kami memilih jogging di taman yang berdekatan persisiran pantai kerana tiupan anginnya dan desiran ombaknya mendamaikan hati.

2. Mengaji quran/ hafazan/ tasmi’

Mengaji boleh dibuat pada sebelah pagi selepas sarapan atau sebelah petang selepas Asar.

Mungkin juga hafazan sebelah pagi dan mengaji sebelah petang, ikut keselesaan anak-anak.

Yang penting sebelum tidur (malam) sesi tasmi’ diwajibkan. Supaya tidur mereka dibayangi ayat-ayat yang sedang dihafalnya.

3. Melukis/ mewarna/ gunting dan tampal

Melukis apa sahaja yang terlintas di fikiran anak-anak.

Pernah dengar tak, lukisan kanak-kanak mencerminkan emosi yang sedang dirasai oleh kanak-kanak.

Ibu bapa yang peka boleh tahu apa yang anak mereka sedang alami melalui lukisan.

Aktiviti mewarna, gunting dan tampal juga menyeronokkan.

Boleh ajar mereka menggunakan gunting dengan betul supaya tidak mendatangkan bahaya.

4. Bercucuk tanam

Aktiviti ini biasanya dilakukan di sekolah, apa kata cuti sekolah kali ni, ibu bapa pula yang melakukannya bersama anak-anak.

Boleh tanam sayur-sayuran yang mudah dijaga seperti kangkung, serai, daun pandan atau pokok-pokok bunga.

Biarkan anak-anak yang menanamnya.

5. Sesi Bacalah Anakku / Read Easy

Teknik membaca buku ini sangat mudah dipelajari untuk anak-anak cepat membaca.

Anak saya yang sulung, pandai membaca Bahasa Melayu dan English ketika berumur 5 tahun dan telah dapat sijilnya sekali.

6. Beriadah & berekreasi (main roller blade/ basikal)

Aktiviti berpeluh ini sesuai dilakukan pada waktu petang di halaman yang luas  ataupun di taman reakreasi. Anak-anak kami bermain-main di atas jalan di depan rumah sahaja bersama dengan anak-anak jiran lain.

7. Lawatan ke perpustakaan, zoo, muzium

Perkenalkan anak-anak dengan perpustakaan sebagai gedung ilmu.

Zoo tempat mengenal binatang. Untuk lebih seronok, anak-anak yang pandai menulis, boleh beri tugasan menulis nama-nama binatang yang mereka lawati di zoo.

Muzium tempat peninggalan sejarah. Ceritakan secara ringkas tentang sejarah setiap tempat atau barang yang terdapat di muzium.

8. Berenang, berkuda & memanah

Aktiviti yang dituntut oleh Nabi kita. Banyak kelebihan dan kebaikannya apabila melakukan aktiviti ini.

Kami tidak pernah hantar ke mana-mana kelas renang kerana saya sendiri yang mengajarnya berenang.

Alhamdulillah anak saya pandai berenang dalam usia 5 tahun. Salah satu kelebihan berenang ini ialah anak di latih untuk tahan pernafasan.

Pernafasan yang panjang sangat penting dalam mengaji A-Quran supaya nafas tidak putus-putus/ termengah-mengah.

Buat masa ini kami hanya berkuda di Batu Buruk, masih belum berkesempatan untuk berkuda yang sebenar. 😀

Teringin juga nak mengajar anak menunggang kuda dengan cara yang betul. Tapi tak jumpa lagi tempat yang sesuai untuk aktiviti ini.

Memanah pun sangat bagus latih skill ketajaman tumpuan anak-anak. Setakat ini, anak-anak memanah dekat rumah sahaja. Dekat Terengganu ni kami tak jumpa lagi tempat yang ada aktiviti untuk memanah.

9. Ke pantai bermain pasir

Bermain pasir yang sebenar lebih bagus daripada bermain pasir kinetic sand tu. Alhamdulillah rumah kami memang berdekatan dengan pantai.

Boleh layan anak-anak bermain tanam diri ke dalam pasir. Aktiviti ini boleh memberi pengalaman merasa diri di tanam seperti dalam kubur.

Kemudian ceritalah bagaimana kita akan dimatikan dan dihidupkan semula di akhirat nanti. Best kan?

10. Melihat bintang

Sesekali membawa anak-anak melihat bintang di tempat lapang seperti di padang dan di pantai sambil mendongak langit.

Ceritalah tentang kebesaran Allah dan ceritakan juga tentang planet-planet lain yang ada di langit.

Hahaa… mak ayah kena cari ilmu astronomi/ ilmu falaq la sikit. Cerita yang asas pun dah cukup. Aktiviti ini kami buat selepas Isya’.

Dengan aktiviti yang sebegini padat, agak-agak ada masa lagi tak nak tengok TV? 😉

Share Itu Prihatin

Sila share artikel ini di media sosial, mungkin ada di antara kenalan anda yang memerlukan. Yakinlah, setiap satu manfaat yang dikongsi, ada balasannya bagi kita.

Jom Langgan / Follow Soleh.Net

Akhir kata, jangan ketinggalan tips sihat untuk beramal! Langgan Soleh.Net terus ke email anda, ianya PERCUMA! Klik sini.

Anda juga boleh follow terus melalui NetworkedBlogs!

Habiah binti Abd Kadir
014.810.7259 (call/SMS/WhatsApp/Viber/WeChat)
Shaklee Independent Distributor
www.facebook.com/mamabasicsupplement

Komentar

comments

Published by

Habiah

Ibu kepada 3 orang cahaya mata yang comel & manja. Proaktif, berintegriti & lantang bersuara. Cintakan kesihatan semulajadi. Suka menghabiskan masa bersama keluarga. Connect with Habiah on Facebook and Google+.

One thought on “Cuti Sekolah Tanpa TV, Manfaatkan Masa Sebaiknya!”

  1. Memang menakutkan TV sekarang ni. Rancangan jarang sekali yang memberi manfaat. Tapi, masih x mampu buat begini, sebab anak kat rumah pun kita kerja. Huhu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *