Soleh.Net

Sihat Untuk Beramal

Pertama kali? Lihat latar belakang.

Kewujudan Pelbagai Bangsa

18 December 2007 oleh ImamKhalid

Manusia adalah daripada keturunan Adam dan Hawa, tetapi bagaimana boleh wujudnya pelbagai bangsa?

Haa jawab, jawab…

Begini jawapannya:

Kejadian manusia diceritakan dalam al-Quran, yang mana asal usul semua manusia adalah daripada Adam dan kemudian diciptakan pasangannya, iaitu Hawa. Ini dijelaskan dalam ayat 1 surah an-Nisa yang maksudnya:

“Hai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari ‘diri’ yang satu, dan daripadanya Allah menciptakan pasangannya, dan daripada kedua-duanya Allah memperkembang biakkan lelaki dan perempuan yang banyak. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasimu.”

Wujudnya juga bangsa selepas penciptaan Adam dan Hawa juga perancangan Allah sehingga dijadikan anak mereka berkembar dengan pelbagai rupa dan warna sehingga timbul konflik antara Qabil dan Habil kerana perbezaan warna dan rupa pasangan mereka.

Ini dijelaskan dalam ayat 13 surah al-Hujurat yang bermaksud: “Sesungguhnya wahai manusia, Kami jadikan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami jadikan kamu pelbagai bangsa dan puak supaya kamu berkenalan antara satu sama lain. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang bertaqwa.”

Penjelasan paling baik adalah Adam dan Hawa memiliki genetik (bahan baka) yang dapat menghasilkan keturunan dengan pelbagai warna kulit. Jelas bahawa Allah mengkehendaki manusia memiliki rupa berbeza-beza. Masuk akal bahawa Allah memberi kepada Adam dan Hawa kemampuan untuk menghasilkan anak dengan warna kulit berbeza-beza.

Apapun penjelasannya, aspek paling penting daripada pertanyaan ini adalah, kita semua berasal daripada ras yang sama, semuanya diciptakan oleh Allah yang sama, semua diciptakan untuk maksud yang sama.

Wallahu a’lam.

Hukum Bermain Gitar

18 December 2007 oleh ImamKhalid

Pagi tadi aku baca komen dari saudara bebudak dari post aku bertajuk Hobi Lama Kembali Menyengat. Begini bunyinya:

mu cite main gitar lak….aku baca byk dlm ni psl haram n halal…sah…..mu x tau ke alat muzik bertali tu hukumnya ape…?

Begini saudara bebudak. Sebenarnya aku dah banyak cari maklumat pasal hukum main gitar ni. Aku minat gitar sejak dari kecik lagi. Tapi parents aku tak bagi aku main gitar atau bawak balik gitar ke rumah, sebab katanya haram hukumnya bermain gitar. Tetapi oleh kerana aku ni minat sangat nak main gitar, aku pun cari pasal hukum main gitar. Tapi aku tak jumpa sumber yang soheh mengatakan hukum bermain gitar itu haram.

Sampailah satu ketika aku tengok Al-Kuliyyah TV3 yang membincangkan tentang alat muzik. Masa tu aku tengok ngan mak aku. Tiba di part gitar. kata pengerusi al-kuliyyah (tak ingat nama tapi beliau seorang hafiz al-Quran), main gitar itu hukumnya harus. Aku pun dengan nada terkejut sampai terbeliak biji mata kegirangan, terus tanya mak aku di sebelah (sebab aku nakkan kepastian). Mak aku pun pelik, sebab selama ni yang dia tahu hukum bermain gitar itu haram.

Aku pun terus call al-kuliyyah (kebetulan dia buka talian untuk sebarang kemusykilan), tapi tak dapat, sampai habis siaran. Aku pun tanya lagi mak aku, dia diam.

Alternatifnya, aku pun (dek kerana minat sangat ngan gitar) call pejabat agama negeri Pahang (sebab masa tu aku dok kat Kuantan) bertanyakan hal ni.

Dari situ saya bincang dengan seorang ustaz. Panjanglah perbincangan dengannya melalui telefon.

Dari perbincangan tersebut, dapat disimpulkan bahawa hukum bermain gitar itu adalah harus. Namun, akan jatuh haram apabila ianya melekakan daripada mengingati Tuhan, lagha, mencetus maksiat, dan sebagainya.

Kemudian, aku dapat peluang melanjutkan pengajian di IPT. Aku tanya ustaz aku masa aku belajar di Kota Bharu. Hukumnya sama, harus. Katanya, kalau main gitar tu untuk tujuan yang menuju ke arah maksiat, haram hukumnya. Tapi katanya lagi, kalau kita main gitar untuk kita sendiri, sebagai hiburan untuk kita, dan tidak melekakan, harus hukumnya.

Namun begitu, ramai yang mengatakan, kalau terdapat banyak pendapat, sehingga jatuh syubhah, lebih baik ditinggalkan. Aku pun akur dengan penyataan tersebut.

Tapi terpulanglah kepada masing-masing. Aku minat bermain gitar, aku suka bermain gitar. Aku main gitar untuk diri aku sendiri. Aku main perlahan-lahan, tidak mengganggu sesiapa sama ada isteri, jiran-jiran mahupun masyarakat. Aku tidak leka dan tidak lagha dalam bermain gitar. Aku rasa aku sentiasa dapat bahagi masa antara tanggungjawab dan hiburan. Isnya-Allah aku akan sentiasa menjaga masa aku dengan baik.

Diharap dapat menjawab komen saudara bebudak. Wallahu a’lam.

Skrip Semasa Menyerahkan Telefon Bimbit Kepada Anak

17 December 2007 oleh ImamKhalid

Anak ayah yang disayangi.

Sudah tiba masanya anak ayah menggunakan telefon bimbit ini. Walau bagaimanapun ia bukan keperluan asas, tetapi adalah satu keistemewaan. Maknanya, kalau anak ayah melanggari perjanjian penggunaan ini, maka ayah berhak mengambilnya semula.

Ingat ya, telefon bimbit ini adalah sebahagian daripada anggota tubuh badan. Ia adalah otak kita yang kedua. Ia boleh menyimpan data dan maklumat dan boleh mengingatkan kita banyak perkara. Polis lebih mempercayai maklumat dalam telefon ini daripada otak kita sebab dia tidak menipu. Oleh itu, simpanlah di dalamya data-data yang baik-baik sahaja. Jangan masukkan di dalamnya bahan-bahan haram seperti gambar atau video lucah. Ia menggambarkan sikap dan akhlak kita juga.

Disebabkan ia adalah menggambarkan akhlak kita, pastikan anak ayah paparkan di “background” nya gambar yang soleh, bukan gambar orang yang tidak sopan. Telefon ini mengeluarkan suara, oleh itu pastikan “ringtone”nya tidak mengganggu orang lain sama ada tahap bising yang kuat atau iramanya tidak menyenangkan.

Setiap komunikasi hendaklah mulakan dengan salam yang sempurna. Sama ada menggunakan SMS atau suara. Dan setiap perbualan mesti (wajib) di tutup dengan doa sejahtera atau semoga bertemu lagi. Jangan biarkan tergantung menyebabkan pemanggil tertunggu-tunggu dariada kita.

Penggunaan di rumah

Adab bercakap dengan pemanggil di rumah sama seperti mana kita menerima kunjungan tetamu ke rumah ayah. Ayah hanya membenarkan anak ayah bercakap di ruang tamu sahaja (tidak di dalam bilik tidur anak ayah) melainkan pemanggil itu sejantina atau muhrim kita.

Waktu menggunakan telefon bimbit di rumah tetap sama seperti mana adab memasuki bilik tidur. Anak ayah tahukan, antara Isyak hingga subuh (setiap hari) dan antara zuhur dan asar (hari minggu dan cuti umum) waktu ini anak ayah tidak boleh masuk bilik ayah melainkan ketuk pintu minta kebenaran. Begitu juga telefon bimbit. Supaya pemanggil luar tidak merosakkan adab kita, antara waktu isyak hingga subuh, semua telefon bimbit di”senyap” kan atau matikan terus dan diletakkan di ruang tamu. Jika ada panggilan diwaktu-waktu “aurat” kita ini, kita jawab selepas waktunya. Ayah tak rela ada pemanggil lelaki yang bukan muhrim bercakap dengan anak ayah yang perempuan ini, di atas katil, pada waktu tengah malam, tanpa izin daripada ayah.

Jangan bawa telefon bimbit ini ke dalam tandas. Nanti susah untuk menjawab salam (sama ada sms atau suara) kalau ada orang memanggil kita.

Hukum membuat panggilan sama ada SMS atau suara

Anak ayah yang disayangi, walaupun belum ada hukum fiqah yang dikeluarkan, ayah menetapkan bahawa ada perkara-perkara yang HARAM anak men”dial” atau hantar sms kepada seseorang.
Pertama: Orang yang anak nampak dan tahu dia sedang sembahyang, sedang belajar dan sedang berkerja.
Kedua: Waktu aurat orang itu (antara isyak dan subuh) melainkan dia beri kebenaran.
Ketiga: Orang yang bukan muhrim yang tiada urusan dengan anak sama sekali.
Keempat: Dengan tujuan maksiat dan sewaktu dengannya.

Perkara yang MAKRUH pula ialah
Pertama: Waktu-waktu sembahyang fardhu jamaah orang itu.
Kedua: Sengaja membuat “miss call” melainkan diberi kebenaran.

Perkara yang SUNAT pula ialah
Pertama: Hubungi opah, atuk, mak cik-mak cik sebulan sekali. Tanyakan khabar mereka, ceritakan keadaan dan kesihatan keluarga kita dan doakan kesejahteraan untuk mereka.
Kedua: Menyebutkan nama atau memaparkan nama kita di hujung sms bagi orang yang tidak kerap kita hubunginya agar dia tidak tertanya-tanya siapa kita.
Ketiga: Minta kebenaran melalui sms dahulu untuk berkomunikasi dengannya.

Perkara yang WAJIB pula ialah
Pertama: Menjawab dengan kadar segera panggilan dan/atau sms. Jawapan yang paling lemah sekali ialah dengan memaklumkan kepada pemanggil melalui sms “OK”. Melainkan perkara itu maksiat dan keburukan.
Kedua: Menghubungi pihak berkuasa jika berlaku perkara yang menjejaskan keselamatan ummah.

Penggunaan di tempat awam.

HARAM menghidupkan telefon bimbit.
Pertama: Tempat-tempat yang ada dipaparkan tanda tidak dibenar menggunakannya seperti di hospital kawasan tertentu, masjid, di sekolah dan sebagainya. Atau diumumkan seperti di dalam pesawat, dewan seminar atau kursus.

MAKRUH menggunakan telefon bimbit atau menaip sms,
Pertama: Sedang bersama rakan sama ada urusan formal atau tidak melain meminta izin mereka yang hadir dahulu. Malah di dalam teksi, sila anak minta kebenaran pemandu teksi sebelum menjawab atau membuat panggilan.
Kedua: Bercakap dan ketawa dengan pemanggil hingga mengganggu orang di sekeliling.
Ketiga: Menyebut keburukan orang lain dengan pemanggil hingga orang di sekeliling boleh mendengar dengan jelas (kekadang boleh naik tahap haram)

Cukuplah setakat ini dulu anak ayah. Jika timbul isu lain, nanti kita sama-sama buat “fatwa” yang lain pula.

Terimalah telefon bimbit Nokia N95 4G dari ayah untuk mu.

Selamat mencuba

- Pak Utih -

Dialog Dua Hantu yang Sengal

16 December 2007 oleh ImamKhalid

Tersebutlah kisah dua ekor hantu. Mereka ni baru bertemu lalu mereka pun berboraklah untuk mengisi masa lapang kehidupan mereka sebagai hantu. Sepanjang perbualan mereka, Hantu B ni tak habis-habis menggigil. Lalu, Hantu A yang kehairanan ni pun bertanya,

“Apsal kau ni asyik menggigil jer?”

“Oh, cara aku mati dulu teruk… Aku mati dalam peti ais, sejuk!!” Jawab Hantu B sambil menggigil lagi.

“Ooo.. kesian… aku dulu mati sebab kena heart attack,” balas Hantu A ramah.

“Kau memang sakit jantung kronik ye? Apsal ko tak gi buat operation? Kalau tak, sure kau tengah lepak-lepak ngan family kau sekarang,” sambung Hantu B.

“Dah, aku dah buat dah! In fact masa aku mati tu, aku in recovery. Panjang ceritanya…” jawab Hantu A sayu.

“Ceritalah sikit.. Sambil-sambil lepak nih..”

“Camni.. Aku syak isteri aku main kayu tiga ngan aku. So this one day, aku ingat nak perangkap la isteri aku.. Aku pura-pura gi keje tapi actually aku park kereta aku kat simpang hujung umah aku jer. Seperti yang aku syak, masuk sebuah kereta kat carpark umah aku. Aku rilex dulu sebab nak carik masa sesuai tangkap diorang.”

“So, ko dapatla tangkap diorang?” tanya Hantu B penuh minat.

“Tak. Aku cume jumpe isteri aku je kat dalam bilik. Yang aku heran, masa aku masuk rumah tu, aku nampak ada kasut laki kat pintu umah aku. Aku tanya isteri aku tapi dia tak jawab. So aku pun lari-lari sekeliling umah aku nak cari jantan tuh. Habis semua bilik aku cari tapi takda pun.. Last-last, sebab aku penat sangat berlari carik jantan tuh, aku pun jatuh pengsan sebab heart attack. And aku tak sangka aku mati pulak…” kata Hantu A mengakhiri ceritanya dengan kesedihan.

Hantu B terdiam mendengarkan cerita Hantu A. Selepas beberapa ketika, Hantu B berkata,

“Kenapa kau tak cek kat dalam peti sejuk? Kalau kau check kat situ, sure kita berdua still hidup lagi…”

Sabo jer lah…

Lelaki Haram Bergelang Tangan

15 December 2007 oleh ImamKhalid

Kejahilan dan kadangkala untuk tidak mendalami ilmu agama boleh menyebabkan seseorang itu terikut-ikut dengan tindakan, penampilan cara hidup orang kafir.

Musuh Islam merancang termasuk dalam bidang perubatan agar orang Islam terjebak untuk menerima cara yang diperkenalkan. Sebagai contoh mereka menciptakan alat bagi mengurangkan tekanan darah dalam bentuk gelang tangan. Bagi orang Islam yang tipis imannya akan menerimanya sebagai satu kaedah perubatan terkini.

Hakikatnya banyak cara lain yang boleh digunakan, tetapi kerana memakai gelang itu adalah dilarang untuk dipakai oleh lelaki Muslim, maka itulah cara terbaik diperkenalkan oleh musuh agar Muslim dilaknat oleh Allah s.w.t. Apabila dilaknat mereka tidak akan menjadi umat yang kuat untuk menghadapi kemaraan musuh mereka.

Larangan memakai gelang tangan walaupun untuk tujuan kesihatan, telah ditegaskan oleh Rasullulah s.a.w.: Hadis Imran bin Hussein r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. telah melihat pergelangan tangan seorang lelaki yang memakai gelang yang diperbuat daripada tembaga, maka baginda bertanya kepada lelaki berkenaan.

“Apakah bendanya ini?” Lelaki itu berkata, “Ia adalah gelang perubatan.”

Rasulullah bersabda, “Sesungguhnya benda itu tidak memberi apa-apa (faedah walaupun untuk tujuan perubatan). Buangkan benda itu dari diri anda. Jika sekiranya anda mati dan benda itu ada pada diri anda, maka anda tidak akan berjaya (selamat) untuk selama-lamanya.” Hadis Sahih yang ke-19, 885 Riwayat Imam Ahmad.

Pemakaian gelang pada hari ini, melibatkan ustaz-ustaz, pegawai-pegawai kerajaan, menteri-menteri bahkan perdana menteri sekali pun. Sesungguhnya mereka semua telah tertipu dengan perancangan musuh yang mahu menghancurkan pegangan akidah umat Islam.

Di Malaysia trend ini bermula di mana gelang hitam diberikan sebagai hadiah orang yang baru balik dari Mekah. Sekarang ini dibenarkan oleh Tabung Haji kepada jemaah haji apabila berada di Tanah Suci supaya mudah dikenali jika berlaku sebarang kes hilang, kemalangan dan sebagainya.

Jenis-jenis gelang yang diharamkan bagi lelaki:-

  1. Gelang Kayu
  2. Gelang Kristal
  3. Gelang Tasbih
  4. Gelang Getah / Plastik
  5. Gelang Bermagnet
  6. Gelang Besi Tabung Haji (apabila berada di Malaysia)

Jenis-jenis gelang yang diharuskan:-

  1. Gelang pesakit di hospital (sebagai tanda nama pesakit dan wad)
  2. Gelang pesalah / penjenayah (dipakai oleh penjenayah yang ditangkap polis)
  3. Gelang kaki bagi pesakit gila / jiwa.

Sekiranya ada yang hendak pakai sangat, maka dia hendaklah berusaha menjadi salah satu daripada 3 golongan ini.

Wallahu a’lam.

Muka 27 dari 60« Pertama...1020...2526272829...405060...Terakhir »