Kewujudan Pelbagai Bangsa

Manusia adalah daripada keturunan Adam dan Hawa, tetapi bagaimana boleh wujudnya pelbagai bangsa?

Haa jawab, jawab…

Begini jawapannya:

Kejadian manusia diceritakan dalam al-Quran, yang mana asal usul semua manusia adalah daripada Adam dan kemudian diciptakan pasangannya, iaitu Hawa. Ini dijelaskan dalam ayat 1 surah an-Nisa yang maksudnya:

“Hai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari ‘diri’ yang satu, dan daripadanya Allah menciptakan pasangannya, dan daripada kedua-duanya Allah memperkembang biakkan lelaki dan perempuan yang banyak. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasimu.”

Wujudnya juga bangsa selepas penciptaan Adam dan Hawa juga perancangan Allah sehingga dijadikan anak mereka berkembar dengan pelbagai rupa dan warna sehingga timbul konflik antara Qabil dan Habil kerana perbezaan warna dan rupa pasangan mereka.

Ini dijelaskan dalam ayat 13 surah al-Hujurat yang bermaksud: “Sesungguhnya wahai manusia, Kami jadikan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami jadikan kamu pelbagai bangsa dan puak supaya kamu berkenalan antara satu sama lain. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang bertaqwa.”

Penjelasan paling baik adalah Adam dan Hawa memiliki genetik (bahan baka) yang dapat menghasilkan keturunan dengan pelbagai warna kulit. Jelas bahawa Allah mengkehendaki manusia memiliki rupa berbeza-beza. Masuk akal bahawa Allah memberi kepada Adam dan Hawa kemampuan untuk menghasilkan anak dengan warna kulit berbeza-beza.

Apapun penjelasannya, aspek paling penting daripada pertanyaan ini adalah, kita semua berasal daripada ras yang sama, semuanya diciptakan oleh Allah yang sama, semua diciptakan untuk maksud yang sama.

Wallahu a’lam.

Komentar

comments

Published by

admin

Seorang bapa kepada 5 cahaya mata yang comel & manja. Pendiam tetapi penyayang. Gemar menulis perisian aplikasi web & sukakan sukan adrinalin. Connect with ImamKhalid on Facebook, Google+, Twitter and YouTube.

2 thoughts on “Kewujudan Pelbagai Bangsa”

  1. BAGAIMANA BELIA BOLEH MENJADI ASET KEPADA UMMAH?

    Mari kita merenung peribadi-peribadi contoh di bawah, bagaimana belia menjadi aset kepada ummah.

    Ashabul Kahfi merupakan sekumpulan muda remaja yang mempertaruhkan nyawa demi menegakkan kebenaran. Mereka lari dan bersembunyi di sebuah gua bukan untuk menyelamatkan nyawa, tetapi untuk menyelamatkan iman dan kebenaran . Mereka tidak mengenal erti seronok zaman remaja.

    Sayidina Ali KWJ ketika baru berusia lima belas tahun sangat pintar, matang dan serius dalam berfikir. Apabila Rasulullah SAW mengajak beliau untuk memeluk Islam, beliau terlebih dahulu meminta izin daripada Rasulullah SAW untuk pulang berunding dengan ibu bapanya. Belum pun sampai menemui ibu bapanya, beliau berpatah balik dan menemui Rasulullah SAW.
    Rasulullah SAW bertanya: “Apa keputusan ibu bapamu?”
    Jawab Sayidina Ali, “Ketika Allah menjadikan aku, Allah tidak berunding dengan ibu bapaku, mengapa pula aku perlu berunding dengan ibu bapaku untuk menjadi hambaNya yang berpegang kepada kebenaran.”

    Lantas beliau memeluk Islam waktu itu juga. Demi kebenaran dan keyakinan jugalah maka Sayidina Ali sanggup mempertaruhkan nyawa dengan berbaring (tidur) menggantikan tempat Rasulullah SAW di malam di mana Rasulullah SAW berangkat untuk berhijrah. Sedangkan pada malam tersebut pihak musuh telah membuatkeputusan dan menyediakan pasukan untuk membunuh Rasulullah SAW. Apabila empat puluh orang pembunuh handalan menerkam ke tempat tidur tersebut untuk membunuh, mereka dapati Sayidina Ali yang sedang tidur dan bukannya Rasulullah SAW.

    Sayidina Ali yang sememangnya semenjak kecil dalam keadaan miskin, tidak pernah kenal erti berfoya-foya, berhibur dan membuang masa. Kepintaran berfikir itu dimilikinya kerana semenjak kecil hatinya bersih dari sebarang titik noda.

    Seorang remaja, Mus`ab bin Umair, gambaran hidupnya secara ringkas dikaitkan dengan gambaran kehidupan umat. Daripada Ali bin Abi Talib, “Bahawasanya kami sedang duduk bersama Rasulullah SAW di dalam masjid. Tiba-tiba datang Mus`ab bin Umair dan tiada di badannya kecuali sehelai selendang yang bertampal dengan kulit. Tatkala Rasulullah SAW melihat kepadanya, baginda menitiskan air mata kerana mengenangkan kemewahan Mus`ab ketika berada di Makkah dahulu, dan sangat dimanjakan oleh ibunya, berbanding nasib Mus`ab sekarang (ketika berada di Madinah sebagai Muhajirin yang terpaksa meninggalkan segala harta kekayaan di Makkah).

    Kemudian Rasulullah SAW bersabda; “Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu ketika nanti, datang di waktu pagi dengan satu pakaian dan datang di waktu petang dengan pakaian lain pula. Dan bila diangkat satu hidangan diletakkan pula satu hidangan yang lain. Dan kamu menutupi (menghias) rumah kamu sepertimana kamu memasang kelambu Kaabah?”
    Jawab para sahabat, “Wahai Rasulullah, tentulah di waktu itu kami lebih baik daripada hari ini. Kami akan beri tumpuan kepada ibadah sahaja dan tidak usah mencari rezeki.”
    Lalu Rasulullah SAW bersabda :, “Tidak, keadaan kamu hari ini adalah lebih baik daripada hari itu.” (Riwayat At Tirmizi)

    Imam Syafie ketika berusia sembilan tahun sudah menghafal tiga puluh juzuk Al Quran. Ketika berumur dua belas tahun sudah mampu mentafsir Al Quran dan menghafal kitab Al Muwattha` karangan Imam Malik. Pada usia empat belas tahun sudah mengajar para alim ulama.Kepintaran beliau terbukti melalui pencapaiannya dalam hal-hal yang tersebut itu. Malah tindakannya juga memiliki hikmah. Ini terbukti apabila suatu hari di bulan Ramadhan sebaik sahaja selesai mengajar anak muridnya yang terdiri di kalangan alim ulama, beliau membuka bekalan lalu makan.

    Perbuatan Imam Syafie tersebut meresahkan anak muridnya. Imam Syafie sangat menyedari reaksi tersebut. Menjawab kepada pertanyaan muridnya yang terlalu hairan kerana makan di siang hari bulan Ramadhan itu Imam Syafie dengan tenang dan teratur berkata, “Aku memang sengaja berbuat demikian. Dan soalan inilah yang ditunggu-tunggu. Aku hanya mahu menguji kamu semua sejauh mana kamu peka dan faham menanggapi semua keadaan berpandukan pengajian yang telah dipelajari. Sebenarnya aku belum baligh (belum diwajibkan berpuasa).”

    Muhammad Al Fateh yang disebut oleh Rasulullah SAW secara umum dalam hadis yang bermaksud: “Konstantinopel akan dikuasai oleh pemimpin yang baik, bersama tentera yang baik dan rakyat yang baik.” Muhammad Al Fateh adalah seorang yang semenjak balighnya tidak pernah meninggalkan sembahyang tahajjud. Di bawah pimpinan beliaulah Konstantinopel yang berdiri teguh untuk sekian lama di tangan Kristian berjaya ditawan dan kini kekal sebagai Istanbul di bawah kerajaan Turki.

    Menilik kepada belia, remaja atau muda mudi kita dewasa ini, tentunya amat mendukacitakan. Andainya iktibar di atas tadi dikemukakan ada pihak yang dengan mudah menolak;
    “Ah, itu dulu dan tentulah idealistik. Kini zaman telah berubah dan berbeza.”
    Atau ada pula yang tidak terlalu memperlihatkan penolakan tetapi memberi komentar, “Umat Islam kini jangan terlalu khayal dengan keagungan masa silam.”
    Memaparkan kejayaan mereka bukan satu khayalan atau terlalu ideal. Tetapi ingin mencari iktibar di mana rahsia kejayaan mereka. Sebab itu Imam Malik rh.m. menegaskan tidak akan berjaya umat ini kecuali kembali kepada kaedah yang telah terbukti membawa kejayaan kepada umat terdahulu.

    Lebih-lebih lagi dalam menangani masalah di kalangan remaja. Kita tidak perlu mencetus-cipta berbagai kaedah yang kebanyakannya berada pada tahap uji kaji dan cuba jaya. Apabila masyarakat digegarkan dengan gejala negatif, bertambah banyak lagi saranan, perancangan dan program yang diwujudkan. Selepas tempoh tertentu semuanya senyap dan lenyap begitu saja. Kita tentulah tidak rela keadaan seumpama itu terus berlaku. Kerana implikasinya ialah terlalu banyak masa, tenaga dan wang ringgit digunakan tanpa membawa natijah yang memuaskan. Kita juga perlu menyedari iaitu para belia dan remaja merupakan aset penting negara dan umat dengan tanggungjawab besar yang bakal dipikul mereka.

    Bukanlah suatu yang mustahil terjadi di mana dalam keadaan mereka yang masih remaja melalui kehidupan negatif tanpa pengubatan, akan diwarisi oleh kehidupan remaja generasi akan datang selepas mereka, yang jauh lebih parah. Ertinya, kini mereka remaja yang bergelumang dengan gejala negatif. Mereka terbiar tanpa dipedulikan. Mereka pula akan dewasa. Tentulah anak-anak mereka bakal mengalami keadaan yang lebih tenat. Kita harus sedar, inilah proses yang telah dan sedang berlaku di kalangan masyarakat Barat. Di zaman ibu bapa mereka sedang remaja, berhibur berfoya hingga jam dua belas tengah malam. Apabila tiba giliran anak-anak mereka mencapai alam remaja, mereka berhibur, berfoya-foya hingga sepanjang malam.

    Oleh itu jangan buat alasan; “Tidak mengapa, dan kita kena toleransi kerana kita dulupun melalui alam remaja yang menempuh keadaan yang sama.” Sebenarnya tidak sama. Parahnya gejala negatif kini kerana dulunya di peringkat ibu bapa sudah mengalami unsur negatif yang diabaikan terhadap mereka oleh golongan terdahulu. Air sungai yang kalau keruh di hulu pastilah keruh di kuala.

    Apa jua jenis program terhadap belia mestilah menepati keperluan spiritual, mental dan fizikal. Perlu disenaraikan secara terperinci setiap program itu yang benar-benar dapat mengisi spiritual, mental dan fizikal. Perlu benar-benar dikenal pasti yang mana program bersifat spiritual, yang bersifat mental dan fizikal. Dan di situ dapat dilihat sejauh mana ratio atau nisbah pengisian tersebut seimbang atau tidak.

    Setiap penyakit ada ubatnya yang serasi. Tersilap ubat adakalanya bukan saja penyakit tidak sembuh malah apa yang dianggap ubat itu boleh mendatangkan mudharat pula. Apabila membicarakan gejala negatif remaja janganlah hendaknya tersalah ubat atau memberi ubat yang tidak serasi. Terlalu mengelirukan apabila ada yang berpendapat gejala negatif itu boleh diubati dengan hanya memanjat bukit, masuk ke hutan, berkayak, berakit, berenang dan bersilat. Kalau benarlah langkah tersebut berkesan, tentulah masyarakat Barat mencapai tahap minima kalaupun tidak sifar. Kerana mereka mempunyai seribu satu macam formula, kaedah, cara, teknik dan pendekatan dalam menghadapi kemelut kehidupan mereka.

    Ingatlah ancaman paling besar kepada kehidupan manusia ialah kerakusan nafsu. Gelombang kerakusan nafsu tidak dapat dipatahkan atau ditundukkan dengan cara memanjat bukit, berakit, bersampan dan bersilat. Iman sahaja merupakan pendekar yang mampu menewaskan gelodak nafsu.

    Persoalannya, sebanyak mana pengisian iman yang dilalui oleh belia kita seperti yang pernah dilalui oleh Sayidina Ali, Mus’ab, Imam Syafie, Muhammad Al Fateh dan yang seumpamanya?

  2. PEMUDA PEMUDI ASET BANGSA DAN NEGARA

    Bagi kebanyakan bangsa atau negara di dunia, pemuda-pemudi itu merupakan aset bangsa dan aset negara. Cuma istilah pemuda dan pemudi ini menurut Islam dan bukan Islam agak sedikit berbeza. Kalau mengikut ajaran Islam, apabila seseorang itu baligh sahaja, dia sudah dianggap pemuda atau pemudi. Sebab waktu itu kalau dia kahwin, sudah boleh melahirkan anak. Jadi menurut Islam, yang dikatakan pemuda-pemudi itu ialah seseorang dari sejak balighnya hingga berumur 40 tahun. Jadi yang tercepat, di usia 9 tahun yakni kalau ketika umur 9 tahun sudah baligh. Itu sudah dianggap pemuda-pemudi atau putera-puteri, hinggalah berumur 40 tahun. Tetapi menurut pandangan umum, terutama pandangan Barat yang bersifat sekular, gelaran pemuda dan pemudi itu diberikan kepada seorang yang berumur 18 tahun ke atas hingga ke umur 40 tahun.

    Sebab itu dunia hari ini, termasuk negara kita juga menggunakan istilah atau takrif ini. Maka dari umur 18 tahun ke bawah, kalau mereka terlibat dengan jenayah, ianya dianggap kes juvana yakni kes di bawah umur, di mana ia mempunyai undang-undang yang tersendiri. Mereka terkecuali daripada undang-undang orang dewasa. Tetapi menurut Islam, belum baligh itu juvana. Kalau sudah baligh, tidak boleh lagi disebut juvana tetapi dianggap dewasa. Bila melanggar peraturan Islam, tidak ada beza dengan orang tua. Bila dia berzina, kena rejam. Kalau mencuri, kena potong tangan. Kalau bunuh orang, dia kena bunuh, walaupun umurnya 9 tahun, kerana dia sudah baligh. Sebab di dalam Islam, dia sudah dianggap dewasa. Jadi di sini ada sedikit perbezaan antara pandangan Islam dengan pandangan sekular.

    Begitu pun, menurut pandangan umum sama ada Islam atau yang bukan Islam, pemuda-pemudi itu dianggap aset bagi sebuah bangsa atau sebuah negara. Mereka adalah aset bangsa dan negara. Sebab itu untuk jadi satu bangsa yang kuat, atau untuk menjadi satu negara yang kuat, pemerintah perlu bijaksana menjaga orang-orang mudanya kerana mereka aset negara. Maksud aset negara ialah harta negara. Aset ada dua bentuk iaitu:
    1. Bahan-bahan semula jadi – sama ada dari dalam bumi, dari dalam laut atau dalam hutan. Contohnya seperti minyak, emas, perak, kayu-kayan dan lain-lain lagi. Itu semua aset juga tetapi itu aset benda mati.
    2. Aset yang lebih penting ialah ‘man power’ atau tenaga manusia. Terutama di kalangan muda-mudi atau putera-puteri.

    Yang dikatakan aset itu ialah apa yang ada pada pemuda-pemudi atau putera-puteri yakni:
    a. Akal (ilmunya)
    b. Rohnya
    c. Fizikal (tenaganya)
    d. Nafsunya

    Bagi orang Barat, roh dan nafsu tidak termasuk aset. Mereka hanya fikirkan fizikal dan akal sahaja. Apa yang hendak diperkatakan ini adalah secara umum dahulu. Sebab itu kadang-kadang disebut pandangan sekular, kadang-kadang disebut di sudut pandangan Islam. Nanti akan difokuskan kepada pandangan Islam. Jadi yang dikatakan pemuda-pemudi ini aset adalah pada akalnya, ilmunya, rohnya dan jasad lahirnya. Bahkan nafsunya juga adalah aset.

    Jadi pemuda-pemudi adalah aset paling besar. Lebih besar dari emas dan perak serta bahan-bahan mentah yang lain. Sebab kalau aset yang kedua ini tidak dapat dibangunkan, kita boleh lihat, banyak negara yang kaya dengan khazanah negaranya tetapi merempat kerana tidak ada tenaga manusia dan ilmu yang berguna. Ada pula negara yang ia tidak ada khazanah dalam negaranya tetapi ada man power yang ada akal, ada ilmu dan badan yang sihat. Dengan itu habis kekayaan atau khazanah negara orang dibongkar. Hinggakan negara tuan punya khazanah itu terpaksa bersandar hidup dengan mereka. Kalau tidak, tidak dapat pula dimanfaatkan bahan mentahnya. Maka negara itu terpaksa panggil tenaga dari Amerika, Jepun atau Korea contohnya, untuk mengeluarkan bahan mentahnya.
    Jadi sebuah negara yang ada banyak kekayaan buminya tidak akan berguna apa-apa bilamana tenaga manusianya itu tidak berfungsi. Khazanah negara Jepun tidak banyak tetapi ia jadi negara kaya sehingga hampir-hampir mencabar Amerika. Padahal ia bukan empayar manakala Amerika itu empayar. Itu tidaklah menghairankan. Tapi kebanyakan negara Islam yang kaya dengan khazanah negaranya menjadi negara yang merempat kerana kalaupun negara atau bangsa itu mempunyai tenaga manusia atau man power, tenaga pemuda-pemudi itu tidak dijaga hingga tidak boleh digunakan.

    Kesimpulannya, tenaga pemuda-pemudi itu sebenarnya aset paling besar bagi sesebuah negara. Sebab itu negara yang baik atau bangsa yang baik, akan menjaga asetnya itu sejak dari kanak-kanak lagi yakni dengan cara-cara seperti berikut:
    1. Negara atau bangsa itu akan membuat satu sistem pendidikan yang baik untuk bangunkan akal pemuda-pemudi dan untuk beri ilmu kepada mereka sebab mereka adalah pelapis bagi orang-orang tuanya. Mereka diberikan ilmu di berbagai bidang.
    2. Kesihatan lahirnya dijaga. Dibuatkan sistem kesihatan yang baik untuk menjaga kesihatan rakyatnya terutama kesihatan di peringkat kanak-kanak hingga mereka membesar menjadi pemuda dan pemudi yang sihat dan cergas. Sebab kalau pandai pun tetapi kesihatannya tidak baik, seperti kena sakit jantung, kencing manis, darah tinggi atau barah, tentulah tidak boleh hendak buat kerja. Ilmu yang ada tidak akan dapat digunakan dengan sebaik-baiknya kalau tenaga sudah lumpuh.

    Bagi orang Islam, bukan itu saja yang dijaga. Yang paling penting adalah rohnya. Roh ini adalah aset yang paling besar, mengatasi akal atau fizikal kerana:
    1. Roh yang menentukan apakah tenaga manusia dapat digunakan dengan sebaik-baiknya.
    2. Rohlah yang menentukan apakah akal fikiran dan ilmu itu dapat digunakan dengan sebaik-baiknya.
    3. Roh juga yang menentukan apakah kekayaan negara dan bahan-bahan mentah dalam sebuah negara itu dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya atau tidak. Sama ada ia digunakan untuk umum atau sebaliknya. Kalau roh sudah rosak, segala kekayaan negara akan masuk poket dua tiga orang pemimpin. Akibatnya, negara kaya tetapi rakyat miskin. Sebaliknya kalau roh itu baik, maka kekayaan yang Tuhan bagi itu akan dimanfaatkan untuk rakyat dan negara.

    Hari ini, roh itulah yang menjadi masalah. Orang Barat tidak ambil peduli tentang roh. Jepun juga tidak ambil pusing tentang roh. Oleh kerana Jepun dan Barat maju, orang Islam pun, kerana hendak maju seperti mereka, turut mengabaikan soal roh. Akhirnya, nama sahaja negara itu kaya tetapi hakikatnya yang kaya hanya dua tiga orang pemimpin sahaja kerana orang yang kuasai negara itu, roh atau hatinya sudah kotor. Rakyat susah dan miskin. Pengagihan harta dan kekayaan sudah tidak dilakukan dengan baik.

    Akal, roh, fizikal dan nafsu pada pemuda-pemudi itu adalah aset paling besar. Kalau kurang khazanah negara pun tidak apa. Mereka akan boleh cari kekayaan dari luar negara untuk dibawa masuk ke dalam negara. Tapi sayang, dunia Islam sudah rosak. Kerana kononnya hendak ikut Barat maka man power yakni aset negara yang ada pada pemuda-pemudi itu jadi rosak. Mereka hanya jaga akal dan fizikal tetapi tidak menjaga roh. Bila roh tidak dijaga maka pendidikannya hanya berdasarkan akal dan jasad sahaja. Pemuda-pemudi hanya perlu pandai dan sihat. Tidak diambil kira baik atau tidak hatinya.

    Akhirnya apa sudah terjadi? Maka terdedahlah mereka dengan gejala-gejala dari luar. Lebih-lebih lagi dari Yahudi yang tidak suka dunia ini aman damai dan bersatu padu. Sama ada dunia Islam, mahupun dunia bukan Islam, diharu-birukannya. Pemuda-pemudinya diracun iaitu dengan dibanyakkan filem lucah, pergaulan bebas, menggalakkan zina dan arak supaya aset-aset yang baik ini jadi rosak. Orang yang ada ilmu dan banyak kepandaian dirosakkannya. Dengan itu, Yahudi boleh menguasai. Walaupun nampaknya Yahudi seperti tidak ada kuasa tetapi mereka berkuasa melalui proksi yakni dengan menggunakan orang-orang tertentu, negara-negara dan pemimpin-pemimpin tertentu untuk melaksanakan kehendak-kehendak mereka.

    Pemuda dan pemudi Islam patut tahu tentang hal ini. Malangnya, kebanyakan orang yang mengaji agama atau belajar agama pun tidak tahu hal ilmu ini. Akhirnya orang tipu kita. Inilah masalahnya. Padahal ini termasuk ilmu dari Al Quran dan Hadis. Pemuda-pemudi yang hendak bangunkan Islam, mesti tahu ilmu ini.

    Oleh kerana negara-negara di dunia ini, terutama umat Islam, tidak jaga man power yang merupakan asetnya, yakni hanya memikirkan kecemerlangan otak dan kesihatan badan pemuda-pemudinya sahaja tetapi melupakan rohnya, maka Yahudilah yang berjaya merosakkan pemuda-pemudi kita. Berapa ramai pemuda-pemudi yang masuk ke pusat serenti? Berapa ratus ribu di kalangan mereka yang tidak boleh dipakai lagi. Sesetengahnya itu jurutera, doktor dan pegawai-pegawai kerajaan. Mereka itu hendak dimanfaatkan tidak boleh, hendak dibunuh juga tidak boleh kerana mereka adalah manusia. Kalau mereka itu ayam, bolehlah disembelih sahaja. Hendak diharapkan tidak boleh lagi tetapi terpaksa juga diberi makan. Berapa susah negara dan bangsa kerana melupakan roh. Pemuda-pemudi cemerlang kerana dapat jadi DO, jadi arkitek, jadi jurutera dan sebagainya tetapi masuk pusat serenti. Orang yang masuk pusat serenti, tenaganya sudah expired. Kalau makanan yang tidak boleh dimakan atau digunakan, bolehlah dibuat baja pokok. Tapi kalau orang sudah expired, maka dia sudah jadi masalah kepada bangsa dan negara. Sekarang kerajaan dan pemimpin sudah pening kepala kerana tidak tahu apa hendak dibuat.

    Zaman dahulu, kebanyakan orang hanya sekolah setakat darjah 5 tetapi tidak jadi seperti hari ini. Hari ini berapa ramai pemuda-pemudi yang melepak-lepak dan menjadi sampah masyarakat hingga memeningkan kepala kerajaan serta masyarakat. Ada yang bergaul bebas dan tidak boleh didisiplinkan lagi. Inilah akibatnya apabila negara mengabaikan pemuda pemudi padahal mereka adalah aset paling besar. Akibat hanya dibangunkan akal dan fizikal mereka sahaja manakala soal roh tidak diambil pusing, akhirnya pandai pun tidak berguna. Yang tidak masuk pusat serenti pula, terlibat dengan rasuah dan tipu duit rakyat.
    Kalau kita baca sejarah dunia sejak ribuan tahun dahulu, bangsa-bangsa yang telah dapat jadi empayar ada tiga kategori yakni:
    1. Waktu tidak ada bangsa yang bangunkan rohaniah atau waktu semua bangsa tidak fikir rohaniah manusia, bangsa yang memikirkan aqliah atau akal itu boleh menguasai. Dia jadi empayar. Contohnya Rom dan Parsi. Waktu itu bangsa-bangsa lain di dunia ini tidak membangunkan rohani dan akalnya. Bangsa Rom dan Parsi dapat bangunkan akal, maka merekalah yang dapat menguasai dunia.
    2. Bila datang Islam, dibangunkan roh, akal dan fizikal umatnya. Maka umat Islam jadi empayar, mengalahkan Rom dan Parsi yang hanya ada kekuatan akal.
    3. Di zaman pertengahan, waktu itu roh sudah rosak semula dan akal pun sudah mula rosak. Orang tidak fikir tentang akal dan roh lagi maka bangsa yang fizikalnya kuat dapat menjadi empayar iaitu bangsa Tartar dari Monggol. Jadi kekuatan fizikal menguasai dunia setelah orang abaikan akal dan roh. Barulah tenaga dan fizikal jadi empayar. Apa yang berlaku ketika itu, penjajah yang menjajah dengan kekuatan fizikal, dia ikut agama negara yang dijajahnya sebab dia sendiri tidak bawa tamadun, tidak bawa ilmu dan keyakinan. Apabila dia menjajah negara Islam maka dia ikut Islam. Bila pergi ke negara Hindu, dia jadi Hindu. Pergi ke negara Buddha, dia jadi Buddha. Itulah yang berlaku kepada bangsa Monggol.

    Perkara ini perlu kita fahami kalau kita hendak berjuang. Jangan hanya berjuang ikut semangat tetapi ilmunya tidak ada. Jadi kita boleh suluh dunia. Dunia ini ibarat hutan. Ilmu itu jalan. Keluar masuk hutan, kalau tidak nampak jalan dan tidak bawa peta, bagaimanalah harimau tidak baham kita, beruang tidak cakar dan koyakkan kita dan lipan tidak gigit kita. Janganlah apabila hendak perjuangkan Islam, hanya fikir halal haram, fikir hudud, fikir hendak potong tangan orang sahaja. Mengapa disempitkan sangat Islam kita ini. Mengapa persempitkan ilmu sedang ini ilmu Islam dari Al Quran.

    Bagi kebanyakan negara umat Islam di seluruh dunia, pemuda-pemudinya yang menjadi aset utama, sudah dirosakkan. Untuk bangunkan mereka semula, sangat susah. Untuk membela keselamatan dunia Islam, pemuda-pemudinya perlu dibangunkan roh dan dibaiki nafsunya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.