Marilah Mengucapkan Dua Kalimah Syahadah

Assalamualaikum warahmatullah
Ku mulai penulisan ini Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Sahabat-sahabat dan saudara-saudara seIslam
Ini adalah kali pertama saya menulis dalam ruangan di Soleh.Net ini, semuga dengan Rahmat dan Kekuatan yang dilimpahkan Allah SWT saya dapat meneruskan penulisan ini dengan sebaik yang mungkin dan semoga Allah SWT melimpahkan pengurniaanNya berupa kefahaman yang datang dari Allah SWT kepada kita semua.

Diriwayatkan daripada Muaz r.a katanya: Aku diutuskan oleh Rasulullah s.a.w. Baginda bersabda: Engkau akan mendapati golongan Ahli Kitab, oleh itu dakwahlah mereka supaya mengucap Dua Kalimah Syahadat. Jika mereka menerima Dua Kalimah Syahadat tersebut, ajarkanlah mereka bahawa Allah mewajibkan kepada mereka mendirikan sembahyang lima waktu sehari semalam. Sekiranya mereka tetap mentaati perintah tersebut, ajarkanlah pula kepada mereka bahawa Allah mewajibkan kepada mereka agar mengeluarkan zakat. Jika mereka tetap mentaatinya, beritahulah mereka supaya berhati-hati terhadap harta mereka dan takutlah doa orang yang teraniaya kerana doa mereka adalah mustajab.

Di atas kebenaran Muhammad Rasulullah SAW, sebagai memulakan tugasan ini, saya mengajak sahabat-sahabat dan saudara-saudara sekelian termasuk diri saya sendiri untuk kembali menghayati dua kalimah syahadah yang menjadi benteng ketahanan Iman kita. Sebutlah dengan jelas, sempurna, berendah diri sehingga menusuk ke dalam jiwa perkataan:

Ucaplah syahadah
LA ILAAHA ILLALLAH,. MUHAMMADDAR RASULULLAH.

Tuntunlah jiwa kita untuk menghayati pengakuan ini, bahawa sesungguhnya, tidaklah ada ‘Ilah’ selain Allah SWT dan Muhammad itu adalah Utusan/Rasul Allah SWT.

Saudara-saudaraku,
Mungkin ada di antara kita yang bertanya, bukankah kita seringkali mengucapkan kalimah ini, paling kurang pun kita ucapkannya 9 kali dalam sehari semalam iaitu ketika kita membaca tahiyat awal dan akhir dalam solat kita. Malahan kadang-kadang ketika kita melafazkan kata-kata amarah kita pun kita lafazkan kalimat ini.

Sesungguhnya tidaklah saya berniat untuk memperlekehkan saudara-saudara semua dengan mengajak saudara-saudara melafazkan perkataan yang seringkali kita ucapkan. Cuma selalunya apa yang kita lafazkan itu tidak menusuk ke jiwa, tidak menggetarkan hati dan tidak di fahami dengan jelas. Kita melafazkannya bukan kerana penghayatan kita, sebaliknya kita lafazkannya sebagai suatu perkataan yang sama seperti kita melafazkan perkataan yang lain. Apatah lagi dalam kita membaca tahiyat awal dan akhir, semuanya berlalu sebegitu sahaja tanpa kegetaran dalam jiwa kita biar sedetik pun.

Sesungguhnya saudara-saudaraku,
Kalimah yang besar ini adalah kalimah yang akan mendekatkan diri kita dengan Allah SWT, Pencipta Langit dan Bumi serta sekelian yang berada dalamnya. Dengan kalimat ini, seorang kafir akan menjadi Muslim dan dengan kalimat ini juga, jiwa akan menjadi tenang, fikiran tidak bercelaru dan kehidupan menjadi bermakna.

Tetapi apa yang berlaku kepada kita hari ini adalah hampir sama dengan apa yang berlaku kepada ahli kitab sezaman dengan Rasulullah SAW. Mereka sering mengatakan bahawa Allah itu adalah Tuhan mereka, tetapi kehidupan mereka jauh dari hidayah Allah SWT. Kerana itu saya kembali membawakan arahan Rasulullah SAW kepada Muaz dalam usahanya mencapai misi daqwahnya.

Bertanyalah pada diri kita sendiri, kekadang kita wiridkan kalimah besar ini sehingga beribu-ribu kali, kita sebutkan sehingga tergeleng-geleng kepala kita dalam wirid kita itu tapi kenapa kalimah besar ini tidak mampu menggugah jiwa kita untuk mencapai Iman?, meruntun naluri untuk mencapai Taqwa? Dan menggetar perasaan untuk menjadi mukmin yang benar? Sedemikian, apabila datang kepada kita iblis samada dari kalangan Jin atau Manusia mengajak kita kepada kerusakan, kita kemudian dengan mudah mengikutinya.

Sesungguhnya saudara-saudaraku,
Kalimah besar ini akan melindungi kita dari azab Neraka Allah SWT, kalimah besar ini akan mempertemukan kita dengan Junjungan Besar kita Muhammad SAW yang daripadanya nanti kita akan mendapat syafaat dan minuman ketika kedahagaan yang amat sangat di Mahsyar. Jika kalimah besar ini tidak dapat melindungi kita semasa kita hidup di dunia ini, maka bagaimanakah ia akan dapat mempertahankan kita di akhirat nanti?

Kerana yang sedemikian itu, hari ini saya sekali lagi mengajak saudara-saudara dan diri saya sendiri, marilah kita sama-sama menyebut kalimah ini dengan kesedaran, marilah kita menyebut kalimah ini dengan kefahaman, marilah kita menyebut kalimah ini dengan jiwa luhur, dengan ikhlas dan dengan penghayatan yang bersungguh-sungguh bahawa sesungguh tidak ada satu sembahan pun yang akan kita sembah samada sembahan itu dalam bentuk berhala, dalam bentuk manusia atau dalam bentuk material kecuali Allah SWT Pemerintah Sekelian Alam juga Hari Akhirat dan bersaksilah bahawa Muhammad itu adalah Rasul Allah, kerana Rasul itu adalah penyampai kebenaran.

Semuga keikhlasan kita ini akan mampu memandu kita kearah Iman yang benar dan semuga Allah SWT melindungi dan memelihara kita dari fitnah akhir zaman yang sedang berleluasa sekarang ini.

Amin.

Komentar

comments

4 thoughts on “Marilah Mengucapkan Dua Kalimah Syahadah”

  1. syahadah adalah kalimah tauhid.. makna nya tauhid ini adalah teras beragama.. bagaimana kita nk kukuh kan tauhid kite? pelajari lah sifat2 allah.. sifat 20 yg dibawa oleh Ulama’ Ahlus Sunnah Wal Jamaah – Imam Abu Hassan Asya’ari.. kite kan ASWJ..

    jangan di ikut tauhid 3 (rububiyah, ulu hiyah & As-maus sifat) itu tauhid yg dibawa oleh wahabi..

  2. kenali Allah…baru kita dapat mengenali diri sendiri dan org lain…oleh itu..bersmalah kita tgkatkn keimanan kpd Allah seterusnya…bermuhasabah diri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.