Sunnah Rasulullah SAW (bhg 1)

Ku mulakan penulisan ini dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Assalamualaikum sahabat-sahabat dan saudara-saudara seIslam.

Alhamdulillah, dengan rahmat dan kekuatan anugerah Allah SWT saya dapat kembali sekali lagi untuk meneruskan penulisan ke arah mencari petunjuk dan hidayah Allah SWT.

Sahabat dan saudara seislam,

Sebenarnya saya ingin meneruskan mengenai persoalan “syahadah”  kerana persoalan itu adalah merupakan pokok utama dalam penentuan Islamnya kita. Waktu terkini di mana kita berhadapan dengan pelbagai cabaran dan fitnah akhir zaman, amat pentinglah untuk kita kembali kepada persoalan pokok yang menjadi dasar kepada iman dan taqwanya kita,  Kepingin benar saya berkonsi suatu ilmu kearah bagaimana untuk kita mendekatkan diri kita dengan Allah SWT sehingga kita dapat merasai bahawa Allah SWT sentiasa berada berhampiran dengan kita.

Bagaimanapun sahabat dan saudaraku, saya rasa ada sesuatu yang lebih penting untuk di perkatakan dan untuk kita bahaskan bersama kerana persoalan yang hendak saya kemukakan ini telah mulai mendesak dan meruncing. Ianya bermula apabila saya menziarahi seorang sahabat yang telah kembali ke rahmatullah beberapa hari yang lalu. Sahabat ini adalah dari kalangan mereka yang mengikut Mazhab As-Syafii. Disebabkan kebaikan dan sifat toleransinya, ramailah yang menghadiri majlis pengkebumiannya dan di antara sahabat-sahabat dan saudara maranya, ada juga yang menjemput pelajar dan penghuni pondok-pondok pengajian. Alhamdulillah, ketika solat jenazah, lebih dari 200 orang yang turut sama bersolat jenazah.

Sahabat ini pula mempunyai beberapa orang anak yang kesemuanya telah berumah tangga. Salah seorang dari anak perempuan sahabat ini telah berkahwin dengan seorang yang agak baik dari segi agamanya. Di masa hayat sahabat ini masih ada, pernah dia membawa menantunya itu menziarahi saya dan sememangnya menantu beliau yang seorang itu suka berbincang mengenai persoalan-persoalan agama sehinggakan selepas itu pun, menantu sahabat ini kerap juga datang menemui saya bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara-perkara yang diraguinya. Maka dari persoalan-persoalan yang ditimbulkannya itu, saya dapat membuat kesimpulan bahawa menantu sahabat ini adalah dari kalangan mereka yang kita kenalinya sebagai wahabi atau mereka yang banyak menilai kembali hadis-hadis dan menolak sama sekali perbuatan yang tidak dilandaskan sunnah ataupun apa yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Demikian itulah ketika menguruskan pengkebumian sahabat ini tadi, menantu sahabat ini tanpa menghiraukan siapa yang disekelilingnya telah membuat pengumuman mengenai tiadanya bacaan talqin,  bacaan tahlil dan juga bacaan quran dikuburan kerana katanya Rasulullah SAW tidak pernah membuat hal-hal yang sedemikian itu. Disebabkan oleh pengumuman itu dibuat tidak dengan persetujuan semua ahli keluarga terutama waris terdekat kepada sahabat ini, hampir saja berlaku pertengkaran selepas sahaja selesai menunaikan solat jenazah. Alhamdulillah, hal itu dapat ditenangkan.

Mungkin disebabkan rasa tak berpuas hati, hampir keseluruhan para jemaah yang hadir telah meninggalkan majlis itu dan yang tinggal hanya beberapa ahli keluarga terdekat yang menguruskan jenazah sahabat ini tadi. Bagaimanapun disebabkan sahabat ini tadi semasa hayatnya begitu baik,  beradap sopan serta banyak membantu pondok-pondok pengajian, maka beberapa pondok pengajian mengadakan juga majlis tahlil dan bacaan doa untuk arwah sahabat ini walaupun dirumahnya sendiri sunyi sepi tanpa bacaan quran, tahlil atau seumpamanya. Semasa melalui rumah sahabat ini tadi, terasa juga kesedihan saya, kerana selalunya selepas majlis kematian, maka anak-anak atau saudara terdekat akan membaca Al Quran untuk dihadiahkan kepada si mati sebagai bekalan beliau di alam barzakh tetapi rumah itu sepi kerana anak-anak beliau sendiri mula meninggalkan rumah itu kembali ke rumah mereka sendiri. Saya menghubungi salah seorang anak sahabat ini dan bertanyakan mengenai perkara itu, beliau hanya menjawab, “kami balik sebab kami tak nak berlaku pertengkaran adik beradik hanya disebabkan oleh seorang menantu.”

Demikianlah apa yang telah berlaku, hanya kerana ingin menegakkan kefahaman dan pegangan sehingga lupa pada pokok atau teras perjuangan. Kerana hendak menegakkan sunnah atau apa yang dinamakan sebagai ikutan Rasullullah, sehingga sanggup mengabaikan silaturrahim, sehingga sanggup merosakkan majlis dan sehingga sanggup menolak ikatan persaudaraan. Benarkan tindakan yang demikian itu?

Mungkin ada di antara sahabat atau saudara ku di sini yang mengamalkan fahaman wahabi ini, untuk kalian dan untuk panduan kita bersama, saya ingin membuat sedikit kupasan mengenai persoalan ini supaya dengan itu, diharapkan tidak berlaku lagi peristiwa yang menimpa sahabat saya tadi kepada kita keseluruhannya.

Sahabat-sahabat dan saudara-saudara seIslamku,

‘Mengikut Sunnah’ bukan semestinya bererti kita wajar mengikuti setiap apa sahaja yang dilakukan oleh Rasulullah SAW, tetapi cukuplah sekiranya kita mengikut Rasulullah melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT kerana Rasulullah itu adalah ikutan yang terbaik. Untuk kita memahami perkara ini, saya bawakan contoh: Rasulullah dahulu memakai jubah dan serban. Maka ada antara kita yang mengutamakan pemakaian jubah dan serban itu sebagai mengikuti sunnah Rasulullah. Ketika saya berkata kepada seorang sahabat yang mementingkan pemakaian jubah dan serban ini bahawa mereka yang memakai baju biasa dan seluar juga sebenarnya mengikut sunnah Rasullullah SAW, maka beliau dengan keras membantah saya dan mengatakan bahawa apa yang saya katakan itu sebagai suatu fitnah. Saya bertanya kepada sahabat itu tadi, “kenapa Rasulullah memakai Jubah?” Dia menjawab “sebab itu sememangnya pakaian Rasulullah,” saya bertanya lagi “kenapa Rasulullah memakai pakaian?” maka jawab beliau “untuk menutup aurat baginda”. Kata saya: “bukankah dengan cara berpakaian kami ini (yang tidak berjubah dan beserban) sebenarnya adalah juga mengikut sunnah kerana Rasulullah berpakaian untuk menutup aurat dan kami juga berpakaian untuk menutup aurat kami. Bukankah disitu letaknya persamaan?”

Masalah-masalah furuq sebenarnya permasalahan kecil yang tidak perlu dipetikaikan selagi ianya tidak membawa kepada kemusnahan akidah. Rasulullah SAW memperjelaskan dan menyelesaikan masalah akidah, masalah ketuhanan dan masalah hubungan antara manusia dan Penciptanya. Ahli kitab menjadi rosak kerana banyak mempertikaikan masalah kecil sehingga melupakan masalah besar dan disebabkan kerusakan itulah Allah menurunkan para nabi memberikan penjelasan kepada mereka. Tetapi mereka ini sombong dan membunuh para nabi yang diutuskan untuk menyelamatkan akidah mereka.

Sahabat dan saudara seislamku,

Di antara sunnah Rasulullah yang sangat besar adalah penyampaian daqwah yang berkesan. Kenapa kita tinggalkan sunnah yang besar ini semata-mata untuk mempertahankan pegangan kita yang entah diterima oleh Allah atau tidak?. Siapa diantara kita yang boleh memastikan bahawa solat  yang kita lakukan  telah diterima oleh Allah SWT dan solat yang dilakukan oleh saudara kita yang lain tidak diterima oleh Allah?

Jika kita sendiri masih terawang dalam mengharap rahmat Allah SWT mengapa kita begitu berani mengatakan solat saudara kita tidak betul? Kembalilah pada jalan Allah dan Rasulnya. Kembalilah kepada sunnah yang sebenar-benarnya dan jangan jadikan perkara kecil untuk meruntuhkan perkara besar.

InsyaAllah jika diizinkan Allah SWT, saya akan menyambung kembali perbahasan ini seterusnya dalam penulisan yang akan datang. Yang baik itu adalah daripada Allah dan sebaliknya itu adalah dari salah faham saya sendiri. Wallah hu aqlam.

Komentar

comments

2 thoughts on “Sunnah Rasulullah SAW (bhg 1)”

  1. ya. itu benar. kita seharusnya bersatu dan tidak terlalu berdebat akan hal furuq kerana masih banyak lagi hal2 asas yang belum dapat kita selesaikan seperti masalah saudara2 kita yang tidadk pernah mengerti tentang solat.

    saya sangat setuju dengan pendapat saudara dalam artikel di atas.

  2. asalam, saya tertarik dgn kata penulis ini. ” nak kongsi ilmu kearah mendekatkan diri dgn tuhan. Kata org yg tahu “Mengenal DIRI mengenal tuhan” .Skrg macam mana nak mengenal diri.pada kita yg mana satu yg dikatan diri. Untuk mengenal Allah mesti dgn hak nya.
    Hendak mencari yg ghaib, mesti pula dgn yg ghaib.
    Cuba saudara terangkan sedikit bagaimana caranya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.