Sunnah Rasulullah (bhg 4)

Assalamualaikum,

Ku mulakan penulisan ini dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Sholawat dan salam buat Junjungan yang mulia, kekasih setiap yang beriman, Muhammad Rasulullah SAW

Alhamdulillah, dengan rahmat dan kekuatan anugerah Allah saya dapat memberikan sumbangan yang seterusnya, Saya berdoa dan amat mengharap semuga Allah menunjuki saya dalam pada saya mulai sehinggalah keakhir penulisan ini. Semuga tulisan yang sedikit ini mampu membuka pintu hidayah Allah SWT untuk kita semuanya.

Sahabat-sahabat dan saudara-saudaraku seIslam,

Sebelum saya meneruskan penulisan ini, marilah kita sama-sama mengulangkaji pada penulisan saya yang lalu, saya nyatakan bahawa jika kita inginkan hidayah Allah SWT, maka kita sewajarnya membukakan pintu hati kita untuk menerima hidayah itu, jika kita menutup pintu hati kita, tentunya kita akan menjadi manusia yang sangat merugi. Ingatlah dengan ingatan yang bersungguh-sungguh pada ayat ini:

Jangan jadi mereka yang mengikuti dengan cara membuta tuli, jangan jadi mereka yang membenarkan tanpa ilmu pengetahuan dan jangan jadi mereka yang meletakkan kepentingan lain melebihi kepentingan penghambaan kepada Allah SWT

InsyaAllah dengan rahmat dan petunjuk Allah SWT, kita akan sama-sama memperoleh jalan yang benar lagi lurus dalam kehidupan kita.

Ketahuilah bahawa meletakkan kepentingan lain selain dari Allah SWT termasuklah juga meletakkan kepentingan diri, kepentingan jamaah, kepentingan kemasyarakatan, kepentingan kenegaraan, kepentingan pengajian, atau kepentingan ilmu pengetahuan. Hakikat yang sangat penting untuk kita hayati ialah bahawa kepentingan Allah itu wajib berada di atas segala kepentingan-kepentingan yang lain.

Jika kita tidak berbuat demikian, maka kita sebenarnya mengambil “ilah” lain selain dari Allah SWT dalam kehidupan kita. Mungkin persoalan sebegini jarang sangat diperkatakan, seberat manapun ia, terpaksa untuk saya kemukakan juga kerana jika kita tidak melapangkan dada, jika kita tidak membukakan akal dan fikiran, jika kita tidak menggunakan pendengaran dan pengelihatan kita untuk mencari petunjuk Allah SWT, semuanya akan menjadi sia-sia dan tidak bermakna.

Sahabat dan saudaraku,

Ketika Muhammad sedang menyendiri di gua hira’, mencari petunjuk dan jalan yang benar,  tiba-tiba dia dipeluk oleh suatu makhluk Allah dengan pelukan yang kuat. Hal ini amat mengejut dan menakutkan baginda. Kemudian dia disuruh membaca lalu dijawabnya “aku tidak tahu membaca”, makhluk itu masih belum mahu melepaskan pelukannya dan masih menyuruh Muhammad membaca, kerana Muhammad seorang yang ummi, dia tetap juga menjawap “aku tidak tahu membaca” tetapi dia tetap disuruh membaca, disebabkan dia sendiri tidak tahu maka Muhammad tetap menjawap “tidak tahu”.

Lalu kemudian makhluk yang memeluknya itupun mengajarkan kepadanya:-

  • Bacalah dengan nama Tuhan kamu yang menciptakan
  • (Dia) telah menciptakan manusia dari segumpal darah
  • Bacalah, dan Tuhan kamu amat pemurah
  • Yang mengajar (menulis) dengan pena
  • Yang mengajar manusia apa-apa yang tidak diketahuinya.  (surah Al-Alaq ayat 1 – 5)

Selepas itu, barulah makhluk itu melepaskan pelukannya, dan apabila terlepas sahaja pelukan itu, dengan ketakutan yang amat sangat, Muhammad berlari sekuat hati untuk kembali ke rumahnya. Ketika dia menemui isterinya, wajahnya menjadi pucat lesi, peluh memercik hingga membasahi jubah yang dipakainya, dalam keadaan begitu, dia meminta kepada isterinya: “selimutkan aku, selimutkan aku” dan Khadijah, isteri Muhammad menuruti kemahuan suaminya. Ketika menyelimuti tubuh suaminya, Khadijah dapat melihat tubuh suaminya itu begitu menggeletar, menampakkan bahawa suaminya telah menemui sesuatu yang sangat hebat dan amat menakutkannya..

Sebenarnya itulah petanda bahawa Muhammad tidak bercakap bohong atau mengada-adakan cerita mengenai wahyu yang diterimanya. Jika Muhammad berlakun, apa gunanya berlakun dihadapan isteri yang sangat setia kepadanya?, jika Muhammad berlakun, peluh tidak akan terpercik dari dahinya, jika Muhammad berlakun, tubuhnya tidak akan menggeletar kerana terlalu amat takut. Kerana dengan kejadian itulah , Khadijah mengakui beriman dengan apa yang dibawakan oleh Muhammad. Kerana dia tahu bahawa suaminya bukan seorang penakut tetapi keadaan Muhammad ketika itu diselubungi oleh rasa ketakutan yang amat sangat..

Lagi pula Muhammad bukan seorang yang suka berbohong, dia tidak pernah dan tidak tahu bagaimana untuk berbohong sehinggakan seluruh anggota masyarakat kaum Quraish mengetahui hal itu. Adakah kita sebagai pendukung Sunnah bersifat dengan sifat itu? Dengan ibu bapa kita, kita berbohong, dengan anak-anak kita, kita berbohong, dengan isteri atau suami kita, kita berbohong, dengan kaum keluarga kita, kita berbohong apatah lagi dengan anggota masyarakat. Bertanyalah pada diri kita, sunnah yang bagaimana yang hendak kita ikuti untuk sampai kepada syurga Allah SWT? Adakah sunnah pada pakaian Rasulullah atau sunnah pada peribadi Rasulullah?. Kerana sifat Al-Amin inilah ketika Muhammad bertanya kepada kaumnya, “jika aku khabarkan kepada kamu bahawa musuh sedang berada di luar kota, adakah kamu akan mempercayai cakapku?” maka kaumnya menjawap tanpa sebarang keraguan “kami akan mempercayainya!”.

Sesungguhnya, Muhammad ketika dia kembali ke rumahnya dengan wajah pucat lesi itu terus memasuki biliknya dan berselimut bagi mengurangkan rasa ketakutannya. Tetapi rupanya mahluk yang mendakapnya tadi masih mengikutinya dan mengikuti perkembangan yang berlaku kepada Muhammad. Ketika  ketakutan Muhammad mulai berkurangan, makhluk itupun muncul sekali lagi meneruskan pengajarannya:-

  • Wahai orang yang berselimut
  • Bangunlah! Berikan peringatan (kepada manusia)
  • Dan besarkanlah Tuhan kamu
  • Dan bersihkanlah pakaian kamu
  • Dan tinggalkanlah berhala
  • Jangan kamu memberi sesuatu dengan tujuan untuk meminta dengan lebih banyak
  • Dan untuk Tuhanmu, bersabarlah. (surah Al Muddassir 1 – 7)

Dengan penurunan ayat ini maka jelaslah tugasan yang sangat besar yang mesti dilaksanakan oleh Muhammad Rasulullah SAW. Inilah perintah pertama dari pencipta manusia,  Allah SWT.

Allah memerintahkan kepada Muhammad untuk bangun dan memberikan peringatan kepada seluruh manusia dan membesarkanNya,  membersihkan diri  dan meninggalkan berhala serta sebarang penyembahan yang sia-sia. Allah seterusnya memberikan peringatanNya yang pertama bahawa tugasan ini bukan untuk mendapat balasan dengan lebih banyak! Dan dalam menjalankan tugasan ini hendaklah banyak bersabar. Inilah sunnah terbesar yang wajib untuk kita mengikutinya,

Allah, Dia yang menciptakan kita dan Dia mengetahui apa yang baik dan apa yang buruk untuk kita. Dia mengetahui bagaimana mendidik kita dan bagaimana untuk mengajar kita. Dia mengetahui kehendak dan kemahuan kita, kemampuan kita dan kelemahan kita. Kerana itu marilah kita kembali kepada didikan Allah SWT melalui sunnah Rasulullah SAW, marilah kita kembali kepada teras yang pertama dalam  Islam dan ingatlah bahawa apa yang kita laksanakan ini bukanlah untuk memperoleh imbalan yang lebih dari apa yang kita usahakan dan dalam penghayatan ini kita wajib bersabar kerana cabaran dan dugaan yang bakal kita terima adalah sangat besar dan rumit.

Sahabat dan saudaraku,

Al Quran itu bukan hanya diturunkan untuk Muhammad SAW, tetapi Al Quran itu adalah untuk diguna pakai oleh setiap manusia yang beriman kepada Allah SWT. Sesungguhnya, apabila Muhammad yang kita kasihi menerima tugasan dari Allah SWT untuk menyampaikan peringatan Allah SWT kepada manusia, maka bagi setiap kita yang mengakui bahawa Allah SWT itu adalah Rabb dan Ilah kita, kewajipan kita juga adalah untuk menyampaikan peringatan Allah SWT. Sebagai pendiri sunnah di mana kita mengakui bahawa kita adalah dari kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, inilah sunnah yang muktabar untuk kita ikutinya tetapi sunnah inilah yang kita tinggalkan.

Selepas sahaja turunnya ayat pertanggungjawaban dan pemberian tugasan ini, diikutilah dengan ayat-ayat lain yang banyak menerangkan mengenai siapakah Allah SWT, siapakah yang akan kita sembah dan kenapakah kita wajib menyembah Dia. Allah nyatakan bahawa Dialah yang telah menciptakan langit dan bumi dan seluruh isi alam maya ini, Dialah yang menciptakan manusia yang bertamadun bermula dari Adam a.s, Dia akan hancurkan seluruh alam maya ini pada suatu ketika nanti dan Dia akan bina semula suatu alam yang lebih kekal abadi dan alam itu dinamakan sebagai Alam Akhirat.

Allah juga menyatakan bahawa setiap manusia akan dibangkitkan kembali di Akhirat dan akan dipersoalkan setiap apa yang mereka lakukan semasa hayat mereka di atas dunia sekarang ini, Manusia yang beriman kepada Allah, yang mempercayai bahawa mereka akan dibangkitkan kembali dan dihitung segala amalannya akan memasuki syurga Allah SWT dan sebaliknya mereka yang menolak Allah SWT sebagai pencipta sekelian alam akan dilontarkan ke dalam neraka. Lihatlah pada firman Allah SWT di dalam surah An Naba’ (perkhabaran).

“Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang”

  1. Tentang apakah yang mereka itu tertanya-tanya (sesama mereka)?
  2. tentang perkhabaran yang besar (iaitu hari berbangkit)
  3. yang mereka itu bersalah-salahan (mempertikaikan) tentangnya (kebenaran ujudnya hari itu)
  4. Sesekali jangan demikian, nanti mereka akan mengetahui
  5. Sesungguhnya sekali-kali jangan demikian, kelak mereka akan mengetahui (kebenaran hari berbangkit itu)
  6. Bukankah Kami (Allah) yang menjadikan bumi sebagai hamparan
  7. Gunung-gunung sebagai tiang-tiangnya
  8. dan Kami ciptakan kamu berpasang-pasangan
  9. dan Kami jadikan tidurmu sebagai istirehat
  10. dan Kami jadikan malam sebagai selimut
  11. dan Kami jadikan siang untuk mencari penghidupan
  12. dan Kami bangunkan di atas kamu (langit) tujuh yang kuat
  13. dan Kami adakan lampu yang terang benderang (matahari)
  14. dan Kami turunkan dari awan air yang mencurah (hujan)
  15. supaya Kami tumbuhkan dari air itu biji dan tanaman
  16. dan kebun yang berlapis-lapis
  17. Sesungguhnya hari keputusan (mahsyar) telah ditentukan waktunya
  18. iaitu pada hari ditiupkan sangkakala (seumpama terompet), lalu kamu datang berbondong-bondong
  19. lalu dibukakan langit, ia (langit) berpintu-pintu (pecah dan hancur)
  20. dan diperjalankan gunung-gunung lalu ia seperti bayangan air (hancur berkecai)
  21. Sesungguhnya neraka telah disediakan
  22. untuk tempat kembali bagi mereka yang durhaka (menolak ketuhanan Allah SWT)
  23. mereka akan tinggal didalamnya beberapa masa
  24. mereka tidak merasa sejuk dan tidak mendapat minuman
  25. melainkan (kecuali) air yang sangat panas dan nanah yang mengalir
  26. sebagai balasan yang setimpal dengan kesalahan mereka
  27. kerana mereka dahulu tidak berharap (mempercayai) akan (hari) perhitungan (hisab)
  28. dan mereka mendustakan ayat-ayat Kami dengan sebenar-benar pendustaan
  29. Tiap-tiap sesuatu telah kami catat dalam sebuah buku
  30. maka rasailah oleh kamu, tidaklah akan kami tambahi kecuali dengan siksaan juga
  31. Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa ada tempat kemenangan (untuk mereka)
  32. (iaitu) taman-taman dari kebun-kebun anggur
  33. dan perawan-perawan yang sebaya
  34. dan piala (gelas) yang dipenuhi
  35. mereka tidak mendengar didalamnya omong kosong dan tidak pula pendustaan
  36. sebagai balasan dari Tuhan kamu sebagai pemberian yang cukup
  37. (iaitu) Tuhan langit dan bumi dan apa-apa yang diantara keduanya, lagi Maha Mengasihi, mereka tidak berkuasa berbicara padaNya.
  38. (iaitu) pada hari yang berdiri Ruh (Jibril) dan malaikat-malaikat berbaris-baris. Mereka tidak bercakap-cakap kecuali orang yang diizinkan oleh Arrahman dan mereka  berkata dengan kebenaran
  39. itulah hari yang sebenarnya (hari perhitungan dimana manusia mendapat hak mereka). Barangsiapa menghendaki, hendaklah ia mengambil tempat kembali kepada Tuhannya (bersedia untuk hari penentuan itu dengan amalan soleh)
  40. Sesungguhnya Kami memberikan peringatan kepada kamu dengan siksa yang hampir (dekat), pada hari itu, manusia diperlihatkan (tentang) apa-apa yang dilakukan oleh kedua tangannya dan orang-orang yang kafir berkata “aduhai kiranya, jadi tanahlah aku”

Saya mendoakan semuga Allah akan terus memberikan kepada saya kelapangan masa bagi menunaikan tugasan menyampaikan ilmu yang diberikan Allah SWT kepada saya ini dan  semuga dengan belas kasihan Allah SWT, ditunjuki kita ke jalanNya yang benar lagi lurus.. Amin.

Sesungguhnya yang baik itu adalah dari Allah SWT dan yang sebaliknya itu adalah dari salah faham saya sendiri, Walla hu aqlam.

Komentar

comments

2 thoughts on “Sunnah Rasulullah (bhg 4)”

    1. Saya juga mendoakan semuga dalam keberkatan kita menyambut ramadhan kali ini, keikhlasan kita akan diterima oleh Allah SWT.
      Maaf dari saya untuk semua saudara dan sahabat yang mengikuti penulisan saya, bagaimanapun kesibukan menyebabkan saya tidak dapat memberikan sumbangan buat sementara waktu.
      Maafkan saya,
      Manmanan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.