Memahami makna Sunnah Rasulullah SAW

Daku memulakan penulisan ini dengan menyebut nama Allah SWT yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang dan dengan doa serta pengharapan yang besar semuga Allah SWT akan menunjuki diri ini ke jalanNya yang benar lagi lurus serta memberikan kekuatan kepada diriku ini untuk menghabiskan penulisan ini, Amin.

Sahabat yang dikasihi,

Marilah kita sama-sama bersyukurlah ke hadrat Allah SWT lantaran dengan limpah kurnia Allah SWT,  dianugerahkan untuk kita kekuatan hingga kita masih mampu untuk membaca dan menulis, masih mampu menghela nafas kita ini dan anugerah yang sangat besar adalah kerana kita masih mampu untuk menggunakan akal kita bagi mencari kebenaran yang hakiki.

Siang tadi, ketika saya berkesempatan untuk melawati Soleh.net, saya terpandang kepada suatu komen dari saudara kita yang bertanya mengenai kefahaman saya tentang Sunnah Rasulullah SAW. Maka kemudian saya menjawab kepadanya dengan memberikan suatu hadis sahih yang diriwayatkan oleh Al Hakim yang antara lain mafhumnya:-

“Sudah ku tinggalkan untuk kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat sepeninggalan ku jika kamu berpegang kepada kedua-duanya iaitu Kitab Allah (Al Quran) dan Sunnah ku.”

Dan untuk memberikan kupasan yang lebih mendalam lagi, saya juga bawakan ayat Al Quran dari surah Al Ahzab ayat ke 21 yang antara lain mafhumnya:-

“Sesungguhnya pada Rasulullah itu mempunyai ikutan yang baik (uswah hasanah) bagi kamu iaitu orang yang mengharapkan Allah SWT, mengharapkan pembalasan baik di hari akhirat dan mereka itu banyak mengingati Allah SWT”


Dengan mafhum ayat Al Quran dan Hadis yang saya bawakan ini, saya berharap ianya akan dapat memberikan jawaban dengan sendirinya kepada persoalan yang ditanyakan itu. Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu mempunyai ikutan yang baik, bermakna bahawa setiap apa yang ada pada diri Rasulullah samada dari akhlaknya, sifatnya, pribadinya malahan cara kehidupan Rasulullah itu sendiri samada semenjak dari sebelum baginda menerima wahyu atau setelah baginda menerima wahyu (dilantik sebagai Rasul) adalah merupakan Sunnah Rasulullah. Jika kita mengikutinya, maka insyaAllah, kita akan memperoleh pahala di sisi Allah SWT.

Sesungguhnya sahabat dan saudaraku, kehidupan Rasulullah SAW itu sepenuhnya semenjak dari dilahirkan hinggalah baginda menghembuskan nafasnya yang terakhir adalah dibawah bimbingan Allah SWT dan Allah SWT tidak membiarkan baginda walaupun sesaat. Kerana itulah ketika ditanya Aisyah mengenai akhlak dan kehidupan Rasulullah SAW maka Aisyah menjawab bahawa akhlak dan kehidupan Rasulullah SAW itu adalah Al Quran. Lebih senang diertikan bahawa Rasulullah itu adalah merupakan Al Quran yang hidup untuk diteladani.

Dari cara baginda menyusu ketika bayi, cara baginda mencari petunjuk Allah SWT, cara baginda beribadah, bermuamalah, berkahwin, malahan cara baginda tidur, bangun, makan, minum, sehinggalah cara baginda ke tandas adalah merupakan Sunnah Rasulullah SAW. Jika kita mengikutinya bererti kita memartabatkan Sunnah Rasulullah SAW.

Contohnya, ketika baginda masih bayi, ibu baginda telah kekeringan air susu untuk disusukan kepada baginda, hakikat sebenarnya, kekeringan air susu ibu baginda itu adalah merupakan ketentuan Allah SWT, supaya dengan itu Rasulullah dapat dicarikan ibu susuan bagi menggenapkan usia susuan untuk bayi iaitu selama 2 tahun sekurang-kurangnya. Maka untuk para isteri muslimah yang hendak mengikuti Sunnah Rasulullah SAW, mestilah memberikan susuan kepada bayi mereka paling kurang selama dua tahun, jika sebelum itu siibu telah kekeringan susu badannya, janganlah diberikan susu lembu kerana ibu Rasulullah tidak berbuat demikian tetapi hendaklah dicari ibu yang menyusu untuk menyusukan bayinya itu.

Begitulah juga dengan perkahwinan Rasulullah SAW, sesungguhnya ketika Rasulullah SAW berkahwin untuk kali yang pertama iaitu dengan Khadijah r.a, baginda hanya mempunyai isteri seorang itu sahaja sehinggalah kembalinya kerahmatullah Khadijah r.a. Jadi para suami yang berhajat untuk mengikuti Sunnah Rasulullah SAW, tidaklah boleh berkahwin lebih dari satu semasa isteri pertamanya masih ada hayat, apatah lagi untuk menceraikan isteri pertama semata-mata untuk berkahwin dengan perempuan yang lain.

Apapun wahai saudara dan sahabat-sahabatku, semuanya mestilah bermula dengan niat yang ada dalam diri kita. Contohnya jika kita memakai pakaian jubah kerana Rasulullah SAW memakai jubah, maka insyaAllah kita akan memperoleh pahala dari perbuatan kita itu tetapi jika kita memakai jubah itu untuk menunjuk-nunjuk dan riya’, tentulah hal sebaliknya pula yang akan kita dibalaskan.

Cuma jika saudara dan sahabat-sahabat bertanyakan pendapat saya mengenai kaedah mengikut amalan Rasulullah SAW dalam cara kehidupan sehariannya ini, saya lebih suka untuk memberikan sesuatu yang lebih sederhana, contohnya jika kita berpakaian walaupun pakaian itu bukanlah pakaian cara Rasulullah SAW, cukuplah terlintas dalam sanubari kita bahawa kita berpakaian itu untuk menutup aurat kita kerana Rasulullah SAW juga berpakaian untuk menutup auratnya, insyaAllah perbuatan kita yang sedemikian itu juga akan memperoleh pahala mengikuti sunnah selagi tidak ada riya’ dan sifat suka menunjuk-nunjuk.

Begitu juga jika Rasulullah SAW dahulu berkenderaan menunggang unta atau kaldai, maka jika terlintas dalam hati kita bahawa kita berkenderaan itu kerana Rasulullah SAW dahulu juga berkenderaan maka insyaAllah, kita akan memperoleh pahala mengikuti Sunnah Rasulullah walaupun kenderaan yang kita naiki itu adalah keldai yang telinganya sepanjang 10 hasta dan boleh melompat antara bukit ke bukit (kenderaan akhir zaman seperti yang digambarkan oleh Rasulullah SAW – kapal terbang).

Dalam permasalahan Sunnah Rasulullah SAW ini, sebenarnya saya lebih suka menekankan bukan kepada persoalan yang remeh seperti cara Rasulullah SAW berpakaian atau berkenderaan malahan juga samada solat cara begini atau cara begitu yang sepatutnya adalah cara Rasulullah SAW! kerana hal itu, bagi saya sebenarnya adalah merupakan hal-hal ringan dan sederhana. Permasalahan sebegini akan lebih membawa kemudharatan daripada kebaikannya sehingga ada antara kita yang sanggup kafir mengkafir kerananya pada hal cukuplah ketika kita menunaikan solat itu terlintas dalam sanubari kita, kita tunaikan solat itu adalah kerana Rasulullah SAW juga menunaikan solat. InsyaAllah selagi kita tidak meninggalkan rukun solat, tidak melanggari ketertibannya dan kita bersolat dengan ikhlas kerana Allah SWT  maka solat kita itu akan diterima oleh Allah SWT dan kita akan beroleh pahala kerana mengikuti sunnah Rasulullah SAW.

Hakikat yang sebenarnya wahai sahabat dan saudara-saudaraku, kita mempunyai Sunnah yang lebih besar yang perlu kita laksanakan.

Apakah Sunnah yang lebih besar itu? Iaitulah mengembalikan “Madrasah Rasulullah SAW” Penelitian perlu kita lakukan supaya dengan itu kita dapat melahirkan kembali Bilal bin Rabbah yang sanggup disiksa, dijemur ditengah teriknya panas gurun dengan batu-batu ditindis dibadannya, biarpun begitu besar siksaan itu, mulutnya masih menyebut “Ahad… Ahad”

Begitu juga dengan Sumaiyah dan isterinya yang dimuliakan sebagai syuhada yang pertama dari Madrasah Rasulullah SAW. Demikian juga dengan Hamzah dan para syuhada yang terkubur di medan Uhud yang setiap tahun akan diziarahi oleh baginda Rasulullah SAW.

Kenapa kita tinggalkan sunnah yang sedemikian agung ini? Yang dari sunnah ini lahir manusia yang hebat dan kental, yang dengannya Islam telah mampu sampai sehingga ke seluruh pelusuk dunia? Kearah memberikan kefahaman inilah saya berusaha untuk menulis dalam soleh.net ini semuga dengan rahmat Allah SWT dan dengan berkat doa dari sahabat dan saudara semua, saya akan terus diberikan kekuatan untuk menulis dan terus menulis dalam ruangan ini insyaAllah.

Sesungguhnya yang baik itu adalah dari Allah SWT dan yang sebaliknya itu adalah merupakan salah faham atau salah tafsir yang datang dari saya sendiri. Sama-samalah kita berdoa semuga Allah SWT menunjuki kita ke jalanNya yang benar lagi lurus.

Wallah hu aqlam.

Salam dari saya

Manmanan.

Lawati saya di: http://manmanan.blogspot.com

Komentar

comments

9 thoughts on “Memahami makna Sunnah Rasulullah SAW”

  1. Makin lama kita kat dunia ni, makin hebat dugaan yang melanda.
    Kita cepat je boleh lalai. Minggu ni pegi surau, minggu depan
    belum tentu lagi. Mari kita berdoa, semoga sentiasa berada di jalan yang LURUS.. Amin

    1. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

      InsyaAllah, jika di izinkan Allah SWT, kita berbincang mengenai permasalahan dunia yang semakin hebat dengan pelbagai dugaan sekarang ini.

      Sabda Rasulullah s.a.w:
      Daripada Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda: “Jika ada seseorang berkata: Orang ramai (sekarang ini) sudah rosak, maka orang yang berkata begitu adalah orang yang paling rosak di antara mereka”.

      Sabda Rasulullah s.a.w:
      Daripada Abu Said Al Khudri r.a, katanya: bahawa Rasulullah s.a.w: “Kamu akan mengikuti jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga jikalau mereka memasuki lubang biawak sekali pun, kamu akan mengikuti mereka”.

      Sabda Rasulullah s.a.w:
      Bersegeralah kamu beramal sebelum datangnya fitnah yang seumpama malam yang sangat gelap. (Ketika fitnah itu telah melanda) Seseorang yang masih beriman di waktu pagi kemudian di waktu petang dia telah menjadi kafir, ia menjual agamanya dengan sedikit mata benda (harta) dunia”

      InsyaAllah saya akan berusaha untuk membincangkan permasalahan akhir zaman ini dalam penulisan yang akan datang, pohon sahabat-sahabat doakan saya dilimpahi kekuatan untuk tujuan murni itu.

      Wallah hu aqlam.

      Salam dari saya,

      Manmanan

    2. Ya Allah ya Tuhan kami,
      Jgnlah kau pesongkan setelah menberi petunjuk,
      Hidupkanlah kami dgn iman,
      Matikanlah kami dlm iman,
      Masukkan kami kesyurga bersama-sam iman..

      Amin Ya Robbal A’llamin

  2. Sunnah Rasulullah SAW adalah cara hidup yang diturunkan oleh Allah SWT yang mana dicantumkan dalam kalimah syahadah Laillahaillah Muhamadurrasullah…………..akui Allah sebagai Rabb………..mengikut cara hidup Rasulullah SAW….
    Hakikatnya sunnah Rasulullah SAW tak boleh dipisahkan dari kehidupan ummat Rasulullah SAW.
    Sunnah adalah sunanul huda………..jalan petunjuk.
    Tinggal sunnah maka sesat………

    1. Assalamualaikum warahmatullah
      Alhamdulillah, dengan rahmat Allah SWT, saya dapat memberikan sedikit tumpuan kepada komen dari saudara M Yusoff. Terima kasih banyak saudara kerana memberikan komen yang amat bernas sebegini.

      Terlebih dulu saya mohon maaf kepada pencinta soleh.net kerana dah agak lama juga tidak menulis untuk soleh.net. Inilah kelemahan diri saya sendiri, kesibukan memenuhi tuntutan hidup kadang-kadang menyebabkan kita tidak berkesempatan. Astagfirullah. Semuga Allah mengampuni hambaNya yang amat lemah ini.

      Saudaraku,
      Seperti yang terdapat pada tulisan saya, hadis yang menyuruh kita berpegang kepada Kitabullah dan Sunnah Rasulullah, jika kita berpegang dengan keduanya maka kita tidak akan tersesat. Jika kita meninggalkan salah satu dari kedua itu, maka benarlah kata saudara, kita akan mudah untuk tersesat jalan. Na a u zubillah.

      Cuma permasalahannya adalah untuk memahami makna sebenar Sunnah Rasulullah SAW itu, tanpa kefahaman yang benar maka kita juga akan tersesat jalan. Dalam usaha untuk memberikan kefahaman itulah saya berusaha untuk menulis dalam soleh.net ini. Hidup mesti dengan ilmu, tanpa ilmu tentu juga kita akan tersesat jalan.

      Contohnya, adakah mereka yang tidak memakai jubah itu tidak mengikuti Sunnah Rasulullah? jika tidak mengikuti sunnah!! bukankah semua orang yang tidak berjubah itu sesat?

      Bagaimana pula dengan maksudnya bid’ah, adakah semua bid’ah itu sesat? Inilah permasalahan yang sebenarnya memerlukan penelitian dan perhatian khusus tetapi tidak banyak dari antara kita, ulama-ulama kita membahaskan perkara ini ataupun perbahasan mereka tidak meliputi perkara yang sebenarnya.

      Semuga Allah menunjuki kita jalanNya yang benar lagi lurus.. berdoalah dengan ikhlas, sesungguhnya jika kita tidak ditunjuki oleh Allah SWT, tentunya kita akan berhadapan dengan jalan yang sukar.

      Wallah hu aqlam.

  3. assalamualikum..
    saya ada sdkt kemuskilan la..
    xtau nk tny ktne..coz de sowg kwn sy tny soklan nie pd sy..
    ape yea hukum prkahwinan(perempuan msh dara dgn suami org-tnpa pngtahuan istri ptma)..
    pas2 nkh luar dr negeri kelahiran masing2..
    ada sijil nkh..tp ble check kt majlis agama tempat dia nikah no siri 2 xada..
    jd dsbbkn muskyil msg2 da tnggl berasingan..
    so sy nk tau nikah 2 sah or x?
    dan ape perlu dia bt..
    thanxs yea..

    1. Eloknya pergilah ke majlis agama dan bertanyalah kepada hakim syarii dengan jelas. permasalahan ini berhubung kait dengan undang-undang negara dan bertanyalah kepada mereka yang pakar dengan undang-undang dalam negeri di mana mereka berada.

      Wallah hu aqlam.

  4. Salam semua, semoga anda dirahmati Allah swt.

    Pertama kali saya disini dan alhamdulillah saya dapati ianya bagus. Tetapi ia akan menjadi lebih bagus sekiranya para ilmuan dapat memberi sedikit lagi sumbangan penulisan mengenai sunnah rasullullah saw atau pun apa jua tulisan mengenai keperibadian baginda saw. Soal pamakaian, jubah dsb saya fikir tak payah lah diulang ulang, cari lah perkara2 yang berkaitan dengan kehidupan harian untuk renungan bersama di dunia alaf ini, mengenai kesedaran, keinsafan, kerohanian, keimanan dan banyak lagi yang saya fikir perlu dikongsi bersama kerana ianya akan memberi kesan mendalam kepada para pembaca.

    Salam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.