Skrip Semasa Menyerahkan Telefon Bimbit Kepada Anak

Anak ayah yang disayangi.

Sudah tiba masanya anak ayah menggunakan telefon bimbit ini. Walau bagaimanapun ia bukan keperluan asas, tetapi adalah satu keistemewaan. Maknanya, kalau anak ayah melanggari perjanjian penggunaan ini, maka ayah berhak mengambilnya semula.

Ingat ya, telefon bimbit ini adalah sebahagian daripada anggota tubuh badan. Ia adalah otak kita yang kedua. Ia boleh menyimpan data dan maklumat dan boleh mengingatkan kita banyak perkara. Polis lebih mempercayai maklumat dalam telefon ini daripada otak kita sebab dia tidak menipu. Oleh itu, simpanlah di dalamya data-data yang baik-baik sahaja. Jangan masukkan di dalamnya bahan-bahan haram seperti gambar atau video lucah. Ia menggambarkan sikap dan akhlak kita juga.

Disebabkan ia adalah menggambarkan akhlak kita, pastikan anak ayah paparkan di “background” nya gambar yang soleh, bukan gambar orang yang tidak sopan. Telefon ini mengeluarkan suara, oleh itu pastikan “ringtone”nya tidak mengganggu orang lain sama ada tahap bising yang kuat atau iramanya tidak menyenangkan.

Setiap komunikasi hendaklah mulakan dengan salam yang sempurna. Sama ada menggunakan SMS atau suara. Dan setiap perbualan mesti (wajib) di tutup dengan doa sejahtera atau semoga bertemu lagi. Jangan biarkan tergantung menyebabkan pemanggil tertunggu-tunggu dariada kita.

Penggunaan di rumah

Adab bercakap dengan pemanggil di rumah sama seperti mana kita menerima kunjungan tetamu ke rumah ayah. Ayah hanya membenarkan anak ayah bercakap di ruang tamu sahaja (tidak di dalam bilik tidur anak ayah) melainkan pemanggil itu sejantina atau muhrim kita.

Waktu menggunakan telefon bimbit di rumah tetap sama seperti mana adab memasuki bilik tidur. Anak ayah tahukan, antara Isyak hingga subuh (setiap hari) dan antara zuhur dan asar (hari minggu dan cuti umum) waktu ini anak ayah tidak boleh masuk bilik ayah melainkan ketuk pintu minta kebenaran. Begitu juga telefon bimbit. Supaya pemanggil luar tidak merosakkan adab kita, antara waktu isyak hingga subuh, semua telefon bimbit di”senyap” kan atau matikan terus dan diletakkan di ruang tamu. Jika ada panggilan diwaktu-waktu “aurat” kita ini, kita jawab selepas waktunya. Ayah tak rela ada pemanggil lelaki yang bukan muhrim bercakap dengan anak ayah yang perempuan ini, di atas katil, pada waktu tengah malam, tanpa izin daripada ayah.

Jangan bawa telefon bimbit ini ke dalam tandas. Nanti susah untuk menjawab salam (sama ada sms atau suara) kalau ada orang memanggil kita.

Hukum membuat panggilan sama ada SMS atau suara

Anak ayah yang disayangi, walaupun belum ada hukum fiqah yang dikeluarkan, ayah menetapkan bahawa ada perkara-perkara yang HARAM anak men”dial” atau hantar sms kepada seseorang.
Pertama: Orang yang anak nampak dan tahu dia sedang sembahyang, sedang belajar dan sedang berkerja.
Kedua: Waktu aurat orang itu (antara isyak dan subuh) melainkan dia beri kebenaran.
Ketiga: Orang yang bukan muhrim yang tiada urusan dengan anak sama sekali.
Keempat: Dengan tujuan maksiat dan sewaktu dengannya.

Perkara yang MAKRUH pula ialah
Pertama: Waktu-waktu sembahyang fardhu jamaah orang itu.
Kedua: Sengaja membuat “miss call” melainkan diberi kebenaran.

Perkara yang SUNAT pula ialah
Pertama: Hubungi opah, atuk, mak cik-mak cik sebulan sekali. Tanyakan khabar mereka, ceritakan keadaan dan kesihatan keluarga kita dan doakan kesejahteraan untuk mereka.
Kedua: Menyebutkan nama atau memaparkan nama kita di hujung sms bagi orang yang tidak kerap kita hubunginya agar dia tidak tertanya-tanya siapa kita.
Ketiga: Minta kebenaran melalui sms dahulu untuk berkomunikasi dengannya.

Perkara yang WAJIB pula ialah
Pertama: Menjawab dengan kadar segera panggilan dan/atau sms. Jawapan yang paling lemah sekali ialah dengan memaklumkan kepada pemanggil melalui sms “OK”. Melainkan perkara itu maksiat dan keburukan.
Kedua: Menghubungi pihak berkuasa jika berlaku perkara yang menjejaskan keselamatan ummah.

Penggunaan di tempat awam.

HARAM menghidupkan telefon bimbit.
Pertama: Tempat-tempat yang ada dipaparkan tanda tidak dibenar menggunakannya seperti di hospital kawasan tertentu, masjid, di sekolah dan sebagainya. Atau diumumkan seperti di dalam pesawat, dewan seminar atau kursus.

MAKRUH menggunakan telefon bimbit atau menaip sms,
Pertama: Sedang bersama rakan sama ada urusan formal atau tidak melain meminta izin mereka yang hadir dahulu. Malah di dalam teksi, sila anak minta kebenaran pemandu teksi sebelum menjawab atau membuat panggilan.
Kedua: Bercakap dan ketawa dengan pemanggil hingga mengganggu orang di sekeliling.
Ketiga: Menyebut keburukan orang lain dengan pemanggil hingga orang di sekeliling boleh mendengar dengan jelas (kekadang boleh naik tahap haram)

Cukuplah setakat ini dulu anak ayah. Jika timbul isu lain, nanti kita sama-sama buat “fatwa” yang lain pula.

Terimalah telefon bimbit Nokia N95 4G dari ayah untuk mu.

Selamat mencuba

– Pak Utih –

Komentar

comments

Published by

admin

Seorang bapa kepada 5 cahaya mata yang comel & manja. Pendiam tetapi penyayang. Gemar menulis perisian aplikasi web & sukakan sukan adrinalin. Connect with ImamKhalid on Facebook, Google+, Twitter and YouTube.

4 thoughts on “Skrip Semasa Menyerahkan Telefon Bimbit Kepada Anak”

  1. Assaamualaikum…
    alhamdulillah…sebagai sorang anak,saya tersentuh dengn syarat penggunaan telefon bimbit yang saudara kemukakan…
    walopun ayah saya tidak meletakkan syarat penggunaannya,alhamdulillah saya tidaklah menyalahguna kemudahan ini…
    cuma saya ingin mengenengahkan ttg telefon bimbit ini,
    kemudahan ini mmg sengaja di cipta utk melalaikan sekali gus menjatuhkan umat islam…
    maksiat dapat di salur secara berterusan melaluinya…
    itulah agenda utama musuh islam…
    tapi sbg seorang ayah yang bertanggungjawab saya tabik kerana tidak embiarkan anak anda dalam kelalaian…
    alhamdulillah…semoga uasaha saudara mendapat keberkatan..
    amn…semoga berjaya di dunia dan akhirat..

    1. Memang sengaja dicipta untuk melalaikan? Bukan begitu Nor lia Dea, sedangkan Islam menuntut penganutnya mencari ilmu sedalam2nya, termasuklah dari sudut sains dan teknologi.

      Kemunculan telefon bimbit sebenarnya memberi seribu kebaikan kepada seluruh umat manusia di muka bumi.

      Yang penting ialah iman di dada. Sehebat manakah kita mengguna dan mengamalkan ilmu yang ada, sekuat manakah kemampuan kita menangani segala dugaan yang mendatang.

      Harap saudari Nor lia Dea dapat apa yang saya maksudkan. Wallahu a’lam.

  2. terima kasih atas penjelasan saudara…

    mmg betul apa yang saudara katakan…
    tapi teknologi ni satu cabaran juga kepada umat islam….
    lagi2 kepada yang salah menggunakan kemudahan kini…

    misalnya telefon bimbit…
    banyak di gunakan untuk tujuan yang tidak elok…
    spt rakaman video lucah,aksi bercumbu,tempat meluahkan perasaan …
    macam2 lah…
    kerana ia berbualan nya tidak terbatas…

    berbeza dengan kita berjumpa secara berdepan…
    perasaan malu akan membataskan berbualan lagi2 perbualan yang bukan2…
    ini sekadar pendapat saya..
    mungkin saya terlalu negetive…

    apa2 pun, dengan ada kemudahan ini saya bersyukur kerana dapat memudahkan saya berkomunikasi…
    tetapi yang saya kesalkan kerana saya belum mampu untuk menyekat diri saya daripada membalas msj yang tidak penting daripada seorang teman yang bernama lelaki..
    ye la..kita berkomunikasi dengan bukan muhrim jika ada hal penting sahaja..
    tapi…
    boleyh kah jika sekadar berbual melalui msj dengan kawan lama dan tidaklah sampai bercakap perkara yang bukan2…??
    inginkan kepastian…
    assalamualaikum…

    1. Berbual kosong dengan yang bukan muhrim, walaupun melalui SMS adalah dilarang dalam Islam. Ia bukan terletak pada “bercakap yang bukan2”, tetapi perbuatan bercakap2 itu sendiri sudah tidak dibolehkan antara bukan muhrim, selagi bukan dalam keadaan terpaksa (darurat).

      Yang pastinya, tidak ada istilah berkawan bagi yang bukan muhrim. Wallahu a’lam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.