Jom Puasa Esok, Lusa dan Tulat!

Esok hari Khamis 8 Muharram. 10 Muharram pula jatuh hari Sabtu, di mana hari tersebut kita semua disunatkan berpuasa. Namun, puasa sunat hari Sabtu sahaja adalah makruh. Jadi tidak digalakkan untuk kita berpuasa sehari sahaja pada hari tersebut.

Sebaiknya kalau nak puasa sunat 10 Muharram tahun 1429H ni, puasalah sehari sebelum atau sehari selepas.

Tapi alang-alang puasa, baik ambik start dari hari esok (Khamis) sampai Sabtu, baru jadi strategi yang untung berlipat ganda. Nak tahu lebih lanjut, baca post ini.

Ingat dalam bisnes duniawi je ker kena planning dan strategi. Dalam kehidupan Islam untuk pelaburan akhirat pun kena ada tau. Pelaburan jangka masa terpanjang namanya..

Inilah masa nak kumpul dana untuk harta kekayaan kita pada hari Akhirat. Kalau tidak, bila lagi?

Selamat berpuasa! Wallahu a’lam.

Amalan Sunat Sepanjang Muharram

Sebelum aku teruskan lagi cerita pasal peristiwa di bulan Muharram, aku ingat hari ni aku nak selit sikit tentang amalan-amalan yang sunat dilakukan di sepanjang bulan Muharram. Jangan risau, pendek jer ni.

Antara amalan sunat sepanjang Muharram ialah:

  1. Puasa sunat. Hadis mengatakan, sesiapa yang berpuasa sunat 1 hari dalam bulan Muharram, pahalanya seumpama berpuasa selama 30 tahun! Manakala sesiapa yang berpuasa sunat 3 hari (Khamis, Jumaat dan Sabtu) maka pahalanya seperti beribadat (bukan puasa jer) selama 2 tahun!
  2. Solat sunat, berzikir, dan berdoa.
  3. Bersedekah dan tolong menolong.
  4. Menahan marah.
  5. Baca doa akhir tahun (dah terlepas) lepas Asar 30 Zulhijjah.
  6. Baca doa awal tahun (pun dah terlepas) lepas Maghrib 30 Zulhijjah.

Doa awal tahun dan akhir tahun tu kalau tak reti nak baca, pergilah masjid, aminkan bersama-sama tok imam yang baca doa tu. Paling tidak, doa kot Melayu pun boleh.

Peristiwa Bulan Muharram

Sempena 3hb Muharram yang mulia ini, aku nak ucapkan selamat menyambut tahun baru 1429H, kepada semua umat Islam seluruh dunia. Belum terlewat lagi, kan?

Sebut pasal bulan Muharram ini ada beberapa perkara yang aku ingat, dan ingin sekali aku berkongsi bersama pembaca Soleh.Net. Moga-moga dapat mengingatkan kita kembali tentang kebesaran bulan Muharram ini.

Muharram kalau dari segi istilah bahasa bermaksud ‘diharamkan’ atau ‘dalam pantang’.

Dalam bulan Muharram, Allah melarang berperang atau membuat pertumpahan darah. Namun larangan ini ditamatkan setelah pembukaan Kota Mekah.

Puak syi’ah sambut 1 Muharram dengan mengadakan hari berkabung sebagai memperingati terbunuhnya Saidina Husain di Karbala. Siapa itu Saidina Husain?

Saidina Husain merupakan cucu Rasulullah s.a.w., anak kepada Saidina Ali Bin Abu Talib dan ibunya Siti Fatimah Az-Zahra. Saidina Ali mati dibunuh oleh golongan Khawarij. Ibunya dipaku di pintu yang ditendang oleh musuh-musuh Allah. Abangnya Saidina Hassan pula diracuni oleh isterinya sendiri. Apa yang berlaku di Karbala?

Pada 1 Muharram (tahun berapa?), Yazid memohon cop perkenan daripada Saidina Husain untuk menjadi pemerintah. Saidina Husain enggan perkenan permintaannya, kerana beliau mengetahui bahawa Yazid seorang yang jahat, kejam dan zalim.

Semasa Saidina Husain ingin ke Kufah, beliau diintip oleh pengikut Yazid Bin Muawiyah. Masa tu zaman pemerintahan Bani Umaiyah. Saidina Husain terpaksa melarikan diri bersama 200 orang pengikutnya yang setia demi mempertahankan agama Islam.

Sewaktu tiba di Karbala (on the way nak gi Kufah) beliau diserang. Pertempuran berakhir pada 10 Muharram. Saidina Husain mati dipenggal. Pengikutnya diseksa termasuk anaknya yang kedua – diseret di atas bara api dengan tangan bergari (diikat kot).

Itulah sedikit sebanyak yang aku ingat tentang sejarah Muharram ni. Banyak lagi sebenarnya peristiwa bulan Muharram ni. Lain kali kita sambung lagi. Still topik Muharram, still sub-topik peristiwa, tapi peristiwa lain pulak.

Sekian, wallahu a’lam.

6 Hak Muslim Terhadap Muslim

Alhamdulillah, selesai sudah solah subuh, baca Quran dan sarapan pagi. Pada tahun baru (Maal Hijrah) 1429H ini, eloklah kita sama-sama berazam untuk menjadi insan yang lebih baik dari tahun lepas.

Tahun lepas, saya rasa terdapat sedikit kekurangan dalam hubungan saya terhadap muslim, baik di taman perumahan, kampung halaman dan sebagainya, dek kerana sibuk dengan tugas-tugas di pejabat. Oleh itu, azam saya tahun ni, nak jaga hak-hak terhadap sesama muslim.

Muslim maknanya orang yang beragama Islam. Orang yang beragama Islam itu kita panggil dia muslim. Tak kira siapa, mak bapak ker, sedara mara ker, kawan-kawan ker, tak kenal langsung ker, asal dia beragama Islam, maknanya dia tu muslim, dan kita wajib menunaikan 6 hak ke atasnya.

Hak seorang muslim terhadap seorang muslim yang lain itu ada 6 perkara.

  1. Apabila kamu menjumpainya, maka hendaklah kamu memberi salam kepadanya.
  2. Apabila dia menjemput kamu, hendaklah kamu memperkenankan jemputannya.
  3. Apabila dia meminta kamu memberi nasihat, hendaklah kamu menasihatinya.
  4. Apabila dia bersin lalu dia mengucap Alhamdulillah, hendaklah kamu berdoa kepadanya (dengan ucapan Yarhamkallah).
  5. Apabila dia sakit, hendaklah kamu lawatinya.
  6. Dan apabila dia mati, hendaklah kamu iringi jenazahnya

Hadis Riwayat Muslim.

Namun begitu, muslim yang tulen dan asli, yang benar-benar muslim ialah seorang yang benar-benar menjaga dirinya sendiri, anak-anak, dan masyarakat. Sikap ini perlu kita tanamkan kepada diri sendiri agar kita menjadi seorang muslim sejati. Jangan sibuk jaga tepi kain orang lain, kain sendiri yang terlondeh. Kita yang jaga kita sendiri.

Jadi untuk menjaga diri sendiri, amalkanlah 6 hak muslim sesama muslim ini dengan sebenar-benarnya.

Yang pertama bila berjumpa dengan muslim lain. Beri salam dengan perkataan ‘Assalamualaikum’, bukan bersalaman sambil selawat, seperti yang biasa diamalkan oleh masyarakat kita hari ini.

Sibuk sungguh nak berselawat, perkataan salamnya entah ke mana. Padahal perkataan salam itulah yang akan mendoakan kesejahteraan muslim yang kita salam itu.

Yang kedua, jemputan. Masyarakat kita sekarang selalu berat sebelah. Yang mana orang kenamaan, itu lebih diutamakan. Yang mana makanan lebih sedap, yang tu dia pergi.

Sebenarnya, dalam menghadiri jemputan, kita kena pergi semua sekali. Namun, bila terjadinya tak cukup masa dek kerana banyak sangat jemputan, perkiraan yang patut diamalkan adalah jarak dari rumah anda.

Ambil kira yang terdekat dahulu kemudian barulah diambil kira yang jauh, sama ada sempat atau tidak. Sekiranya dikira tak sempat, maklumkan awal-awal tentang keadaan tersebut.

Yang ketiga, bila diminta beri nasihat. Jangan sibuk nak larikan diri, tak reti, tak pandai, tak biasa, dan macam-macam alasan lagi. Cuba bagi juga nasihat kepadanya, tidak kira secetek mana pun ilmu kita di dada.

ImamKhalid: Aku pun tak pandai jugak nak nasihat orang, tapi ini jer lah yang mampu aku buat.

Yang keempat tentang bersin. Apabila orang yang bersin kata Alhamdulillah, tolonglah doakan kepadanya dengan ucapan Yarhamkallah. Jangan buat tak reti jer. Yang bersin pun satu, sikit-sikit ‘Excuse me’, ‘Maaf’ dan sebagainya.

Katakan Alhamdulillah, jangan berat sangat mulut tu nak sebut nama Allah. Baru bersih hati, baru murah rezeki, baru Tuhan sayang.

Yang kelima tentang ziarahi si muslim ketika dia sakit. Cari masa yang sesuai untuk melawatnya. Masa yang terbaik sebenarnya adalah sewaktu hampir masuk waktu solat. Tapi ramai antara kita yang pergi selepas solat, kononnya tak nak kacau si sakit.

Sedangkan bila kita hadir waktu solat, kita boleh bantu dia menunaikan solat. Kemudian, selalukanlah melawat si sakit. Bukan sekadar sekali sahaja. Biasanya kita ni berebut-rebut nak jadi orang pertama yang ziarah si sakit.

Pastu sibuk tanya orang lain, “Engkau dah ziarah ker belum si sakit tu? Aku dah pergi semalam.” Seolah-olah tidak perlu lagi pergi. Mungkin kalau si sakit tu mati baru dia nak datang balik. Tu pun kalau datang.

Yang terakhir pasal jenazah. Haa yang ni lah masa yang sangat menghibakan, masa di mana kita lebih mudah untuk mengukur diri, muhasabah diri. Masa ni lah kita boleh nilai di manakah kita. Dah cukup amalan ke belum. Umur dah meningkat, amalan meningkat ke tidak.

Jadi janganlah ambil remeh perkara ke enam ini, iringi jenazah bagi lelaki. Biarlah seratus kali pun, kalau ada peluang, jangan lepaskan. Gunakan sebaik mungkin. Ini merupakan salah satu cara untuk kita insaf di atas perkara-perkara mazmumah yang kita lakukan yang mungkin kita lupa, lagha, lalai, dan sebagainya.

Marilah sama-sama kita amalkan hak kita terhadap sesama muslim pada tahun 1429H ini. Yang belum mula, boleh cuba. Yang dah buat, boleh perbaiki. Tiada yang sempurna selain Allah.

Sekian, wallahu a’lam.

Selamat Menyambut Maal Hijrah 1429

Esok merupakan hari penting buat kita umat Islam seluruh dunia. Kerana esok ialah tahun baru. Ini bermakna akan tamatlah tahun 1428H dan bermulalah tahun baru 1429H.

Biasanya kalau tahun masehi, masyarakat kita sambut tahun baru dengan menunggu pertunjukan bunga api tepat pukul 12 tengah malam. Sambutan sebegini biasanya diadakan di stadium-stadium setiap negeri. Kalau di Ibu Negara, Dataran Merdeka yang jadi sasaran.

Waktu itu dapatlah kita lihat hiruk pikuk manusia berkumpul beramai-ramai penuh sesak, bercampur lelaki dan perempuan pelbagai kaum dan bangsa serta agama. Yang tak tahannya yang Islam paling ramai. Ada yang datang dari petang lagi. Entah solat entah tidak. Ada yang sebelum maghrib dah sampai. Tak solat maghrib ker?

Persiapan sambutan juga tak kurang hebatnya. Jutaan ringgit wang kerajaan rakyat dihabiskan begitu sahaja. Kesudahannya, maksiat berlaku dengan penuh berleluasa, sehingga tidak dapat dikawal lagi. Aik, ada ke maksiat yang boleh dikawal?

Jadi tahun baru Hijriah ini diharap tidak akan berlaku lagi perkara-perkara sebegitu. Masing-masing di antara kita perlu sedar yang kita ni dah meningkat tua. Bumi yang kita tinggal ni pun dah semakin tua. Tak lama lagi dah nak kiamat pun.

Di tahun baru yang bakal tiba ini, marilah kita bina azam baru. Perlu diingat, hari semalam sudah kita tinggal, hari ini kita hidup, hari esok perlu kita rancang. Matlamat tak tercapai tahun lepas yang dah basi tu tak perlu disimpan lagi. Sebaliknya, bina matlamat baru dan fokus kepada matlamat tersebut pada tahun ini.

Sekian sahaja dari saya sempena tahun baru 1429H yang mulia ini. Moga-moga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah s.w.t.

Wallahu a’lam.

P/s: Siap-siaplah nak kacau bubur as-syura 10 Muharam ni.

P/p/s: Jangan lupa puasa sunat 10 Muharam tau. Besar ganjarannya. Rugi kalau tak buat. Kalau nak lagi bagus, puasa 9, 10, dan 11 Muharam, lagi besar ganjaran.