Amalan Sunat Sepanjang Muharram

Sebelum aku teruskan lagi cerita pasal peristiwa di bulan Muharram, aku ingat hari ni aku nak selit sikit tentang amalan-amalan yang sunat dilakukan di sepanjang bulan Muharram. Jangan risau, pendek jer ni.

Antara amalan sunat sepanjang Muharram ialah:

  1. Puasa sunat. Hadis mengatakan, sesiapa yang berpuasa sunat 1 hari dalam bulan Muharram, pahalanya seumpama berpuasa selama 30 tahun! Manakala sesiapa yang berpuasa sunat 3 hari (Khamis, Jumaat dan Sabtu) maka pahalanya seperti beribadat (bukan puasa jer) selama 2 tahun!
  2. Solat sunat, berzikir, dan berdoa.
  3. Bersedekah dan tolong menolong.
  4. Menahan marah.
  5. Baca doa akhir tahun (dah terlepas) lepas Asar 30 Zulhijjah.
  6. Baca doa awal tahun (pun dah terlepas) lepas Maghrib 30 Zulhijjah.

Doa awal tahun dan akhir tahun tu kalau tak reti nak baca, pergilah masjid, aminkan bersama-sama tok imam yang baca doa tu. Paling tidak, doa kot Melayu pun boleh.

Peristiwa Bulan Muharram

Sempena 3hb Muharram yang mulia ini, aku nak ucapkan selamat menyambut tahun baru 1429H, kepada semua umat Islam seluruh dunia. Belum terlewat lagi, kan?

Sebut pasal bulan Muharram ini ada beberapa perkara yang aku ingat, dan ingin sekali aku berkongsi bersama pembaca Soleh.Net. Moga-moga dapat mengingatkan kita kembali tentang kebesaran bulan Muharram ini.

Muharram kalau dari segi istilah bahasa bermaksud ‘diharamkan’ atau ‘dalam pantang’.

Dalam bulan Muharram, Allah melarang berperang atau membuat pertumpahan darah. Namun larangan ini ditamatkan setelah pembukaan Kota Mekah.

Puak syi’ah sambut 1 Muharram dengan mengadakan hari berkabung sebagai memperingati terbunuhnya Saidina Husain di Karbala. Siapa itu Saidina Husain?

Saidina Husain merupakan cucu Rasulullah s.a.w., anak kepada Saidina Ali Bin Abu Talib dan ibunya Siti Fatimah Az-Zahra. Saidina Ali mati dibunuh oleh golongan Khawarij. Ibunya dipaku di pintu yang ditendang oleh musuh-musuh Allah. Abangnya Saidina Hassan pula diracuni oleh isterinya sendiri. Apa yang berlaku di Karbala?

Pada 1 Muharram (tahun berapa?), Yazid memohon cop perkenan daripada Saidina Husain untuk menjadi pemerintah. Saidina Husain enggan perkenan permintaannya, kerana beliau mengetahui bahawa Yazid seorang yang jahat, kejam dan zalim.

Semasa Saidina Husain ingin ke Kufah, beliau diintip oleh pengikut Yazid Bin Muawiyah. Masa tu zaman pemerintahan Bani Umaiyah. Saidina Husain terpaksa melarikan diri bersama 200 orang pengikutnya yang setia demi mempertahankan agama Islam.

Sewaktu tiba di Karbala (on the way nak gi Kufah) beliau diserang. Pertempuran berakhir pada 10 Muharram. Saidina Husain mati dipenggal. Pengikutnya diseksa termasuk anaknya yang kedua – diseret di atas bara api dengan tangan bergari (diikat kot).

Itulah sedikit sebanyak yang aku ingat tentang sejarah Muharram ni. Banyak lagi sebenarnya peristiwa bulan Muharram ni. Lain kali kita sambung lagi. Still topik Muharram, still sub-topik peristiwa, tapi peristiwa lain pulak.

Sekian, wallahu a’lam.

6 Hak Muslim Terhadap Muslim

Alhamdulillah, selesai sudah solah subuh, baca Quran dan sarapan pagi. Pada tahun baru (Maal Hijrah) 1429H ini, eloklah kita sama-sama berazam untuk menjadi insan yang lebih baik dari tahun lepas.

Tahun lepas, saya rasa terdapat sedikit kekurangan dalam hubungan saya terhadap muslim, baik di taman perumahan, kampung halaman dan sebagainya, dek kerana sibuk dengan tugas-tugas di pejabat. Oleh itu, azam saya tahun ni, nak jaga hak-hak terhadap sesama muslim.

Muslim maknanya orang yang beragama Islam. Orang yang beragama Islam itu kita panggil dia muslim. Tak kira siapa, mak bapak ker, sedara mara ker, kawan-kawan ker, tak kenal langsung ker, asal dia beragama Islam, maknanya dia tu muslim, dan kita wajib menunaikan 6 hak ke atasnya.

Hak seorang muslim terhadap seorang muslim yang lain itu ada 6 perkara.

  1. Apabila kamu menjumpainya, maka hendaklah kamu memberi salam kepadanya.
  2. Apabila dia menjemput kamu, hendaklah kamu memperkenankan jemputannya.
  3. Apabila dia meminta kamu memberi nasihat, hendaklah kamu menasihatinya.
  4. Apabila dia bersin lalu dia mengucap Alhamdulillah, hendaklah kamu berdoa kepadanya (dengan ucapan Yarhamkallah).
  5. Apabila dia sakit, hendaklah kamu lawatinya.
  6. Dan apabila dia mati, hendaklah kamu iringi jenazahnya

Hadis Riwayat Muslim.

Namun begitu, muslim yang tulen dan asli, yang benar-benar muslim ialah seorang yang benar-benar menjaga dirinya sendiri, anak-anak, dan masyarakat. Sikap ini perlu kita tanamkan kepada diri sendiri agar kita menjadi seorang muslim sejati. Jangan sibuk jaga tepi kain orang lain, kain sendiri yang terlondeh. Kita yang jaga kita sendiri.

Jadi untuk menjaga diri sendiri, amalkanlah 6 hak muslim sesama muslim ini dengan sebenar-benarnya.

Yang pertama bila berjumpa dengan muslim lain. Beri salam dengan perkataan ‘Assalamualaikum’, bukan bersalaman sambil selawat, seperti yang biasa diamalkan oleh masyarakat kita hari ini.

Sibuk sungguh nak berselawat, perkataan salamnya entah ke mana. Padahal perkataan salam itulah yang akan mendoakan kesejahteraan muslim yang kita salam itu.

Yang kedua, jemputan. Masyarakat kita sekarang selalu berat sebelah. Yang mana orang kenamaan, itu lebih diutamakan. Yang mana makanan lebih sedap, yang tu dia pergi.

Sebenarnya, dalam menghadiri jemputan, kita kena pergi semua sekali. Namun, bila terjadinya tak cukup masa dek kerana banyak sangat jemputan, perkiraan yang patut diamalkan adalah jarak dari rumah anda.

Ambil kira yang terdekat dahulu kemudian barulah diambil kira yang jauh, sama ada sempat atau tidak. Sekiranya dikira tak sempat, maklumkan awal-awal tentang keadaan tersebut.

Yang ketiga, bila diminta beri nasihat. Jangan sibuk nak larikan diri, tak reti, tak pandai, tak biasa, dan macam-macam alasan lagi. Cuba bagi juga nasihat kepadanya, tidak kira secetek mana pun ilmu kita di dada.

ImamKhalid: Aku pun tak pandai jugak nak nasihat orang, tapi ini jer lah yang mampu aku buat.

Yang keempat tentang bersin. Apabila orang yang bersin kata Alhamdulillah, tolonglah doakan kepadanya dengan ucapan Yarhamkallah. Jangan buat tak reti jer. Yang bersin pun satu, sikit-sikit ‘Excuse me’, ‘Maaf’ dan sebagainya.

Katakan Alhamdulillah, jangan berat sangat mulut tu nak sebut nama Allah. Baru bersih hati, baru murah rezeki, baru Tuhan sayang.

Yang kelima tentang ziarahi si muslim ketika dia sakit. Cari masa yang sesuai untuk melawatnya. Masa yang terbaik sebenarnya adalah sewaktu hampir masuk waktu solat. Tapi ramai antara kita yang pergi selepas solat, kononnya tak nak kacau si sakit.

Sedangkan bila kita hadir waktu solat, kita boleh bantu dia menunaikan solat. Kemudian, selalukanlah melawat si sakit. Bukan sekadar sekali sahaja. Biasanya kita ni berebut-rebut nak jadi orang pertama yang ziarah si sakit.

Pastu sibuk tanya orang lain, “Engkau dah ziarah ker belum si sakit tu? Aku dah pergi semalam.” Seolah-olah tidak perlu lagi pergi. Mungkin kalau si sakit tu mati baru dia nak datang balik. Tu pun kalau datang.

Yang terakhir pasal jenazah. Haa yang ni lah masa yang sangat menghibakan, masa di mana kita lebih mudah untuk mengukur diri, muhasabah diri. Masa ni lah kita boleh nilai di manakah kita. Dah cukup amalan ke belum. Umur dah meningkat, amalan meningkat ke tidak.

Jadi janganlah ambil remeh perkara ke enam ini, iringi jenazah bagi lelaki. Biarlah seratus kali pun, kalau ada peluang, jangan lepaskan. Gunakan sebaik mungkin. Ini merupakan salah satu cara untuk kita insaf di atas perkara-perkara mazmumah yang kita lakukan yang mungkin kita lupa, lagha, lalai, dan sebagainya.

Marilah sama-sama kita amalkan hak kita terhadap sesama muslim pada tahun 1429H ini. Yang belum mula, boleh cuba. Yang dah buat, boleh perbaiki. Tiada yang sempurna selain Allah.

Sekian, wallahu a’lam.

43 Perkara Ringan Yang Menyekat Rezeki.

Terdapat beberapa perkara yang mempunyai kaitan dengan kesusahan atau secara lebih khusus sebagai penyebab ditimpa kesusahan dan penderitaan yang mana pada kebiasaannya kita mengambil ringan tentang perkara tersebut. Dalam kitab Al-Barakah fi Fadhl lis Sa’yi Wal Harakah yang disusun oleh Abi Abdillah Muhammad bin Abdul Rahman Al-Habsyi telah diterangkan perkara yang mempunyai hubung kait dengan kesusahan seseorang. 43 perkara tersebut ialah:

  1. tidak sembahyang atau solat;
  2. tidak membaca Bismillah ketika hendak makan;
  3. makan atas pinggan yang terbalik;
  4. memakai kasut atau sandal memulakan sebelah kiri;
  5. menganggap ringan apa-apa yang terjatuh dalam hidangan makanan;
  6. berwuduk di tempat buang air besar atau air kecil;
  7. suka bersandar pada pintu rumah;
  8. suka duduk di atas tangga;
  9. membiasakan diri mencuci tangan di dalam pinggan selepas makan;
  10. membasuh tangan dengan tanah atau bekas tepung;
  11. tidak membersihkan rumah;
  12. membuang sampah atau menyapu dengan kain;
  13. suka membersihkan rumah pada waktu malam;
  14. suka tidur di atas muka;
  15. membakar kulit bawang;
  16. menjahit baju yang sedang dipakai;
  17. mengelap muka dengan baju;
  18. berdiri sambil bercekak pinggang;
  19. tidur tidak memakai baju;
  20. makan sebelum mandi hadas;
  21. tergesa-gesa keluar dari masjid selepas menunaikan solat subuh;
  22. pergi ke pasar sebelum matahari terbit;
  23. lambat pulang dari masjid;
  24. doakan perkara yang tidak baik terhadap ibubapa dan anak-anak;
  25. kebiasaan tidak menutup makan yang dihidangkan;
  26. suka memadam pelita dengan nafas;
  27. membuang kutu kepala dalam keadaan hidup;
  28. membasuh kaki dengan tangan kanan;
  29. membuang air kecil pada air yang mengalir;
  30. memakai seluar sambil berdiri;
  31. memakai serban sambil duduk;
  32. mandi junub di tempat buang air atau tempat najis;
  33. makan dengan menggunakan dua jari;
  34. berjalan di antara kambing;
  35. berjalan di antara dua perempuan;
  36. suka mempermainkan janggut;
  37. suka meletakkan jari jemari tangan pada bahagian lutut;
  38. meletakkan tapak tangan pada hidung;
  39. suka menggigit kuku dengan mulut;
  40. mendedahkan aurat di bawah sinaran matahari dan bulan;
  41. mengadap kiblat ketika membuang air besar atau air kecil;
  42. menguap ketika solat; dan
  43. meludah di tempat buang air besar atau air kecil.

Yang mana satu tabiat anda? Renung-renunglah. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Mudah mudahan kita semua dimurahkan rezeki, amin.

Wallahu a’lam